Friday, March 3, 2017

Rasuah: Pegawai kanan TLDM dipenjara lapan bulan, denda RM80,000

IPOH 2 Mac. - Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihukum penjara lapan bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menerima seutas jam tangan Rolex bernilai RM57,071 dan satu unit telefon bimbit jenama Vertu bernilai RM37,145 tiga tahun lalu.
Hakim S.Indra Nehru memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Kepten Abdul Aziz Gaffor, 56, yang merupakan Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut berkuatkuasa mulai hari ini.
Indra Nehru turut memerintahkan Abdul Aziz dipenjara selama 10 bulan lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Bernama Online

SPRM terima 28 maklumat babitkan kastam Selangor

KLANG 2 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menerima kira-kira 28 maklumat berkaitan ra­suah membabitkan pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri itu bagi tempoh lima tahun bermula 2011.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, kebanyakan maklumat diterima membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia 2009, iaitu menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil sebarang tindakan.
“Oleh itu, kita berharap JKDM Selangor dapat memberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi masalah ini.
“Selain agensi penguatkuasaan seperti JKDM, dua lagi sektor yang diberi fokus dan berada di bawah radar SPRM adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan pengawal seperti syarikat milik kerajaan.
“Maklumat yang diterima akan dipantau dari semasa ke semasa dan laporannya dihantar terus kepada Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya,” katanya dalam sidang akhbar majlis Ikrar Bebas Rasuah JKDM Selangor di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, lebih 300 orang terdiri daripada ketua bahagian, ketua cawangan dan pegawai serta kakitangan JKDM Selangor mengangkat ikrar akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan secara telus dan menjauhi rasuah.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) Kastam Malaysia, Datuk Zulkifli Yahya dan Pengarah JKDM Selangor, Datuk Sarip Ismail.


Utusan Malaysia Online

35.6 peratus wanita pembuat dasar – KSN

Ali Hamsa berbual mesra dengan pegawai-pegawai wanita JUSA C dan pegawai khas di Dewan Perbendaharaan Malaysia, Putrajaya, semalam. 
PUTRAJAYA 2 Mac - Kerajaan sudah melepasi sasaran kuota 30 peratus untuk meletakkan golo­ngan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi apabila 1,419 pegawai wanita atau 35.6 peratus golongan itu kini berada dalam peringkat pembuat dasar di dalam sektor awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, jumlah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan dalam perkhidmatan awam kerana pera­nan wanita diiktiraf di negara ini dalam pentadbiran negara.
“Berdasarkan statistik semasa, pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5 peratus dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kumpulan pelaksana dan peratusan ini tidak termasuk polis dan tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis amanat Ketua Setiausaha Negara kepada pegawai wanita perkhidmatan wanita jawatan utama dan jawatan gred khas sektor awam (JUSA) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 pegawai wanita itu merupakan idea Ali untuk merapatkan jalinan hubungan dan berkongsi idea mengenai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Dalam ucapannya, Ali menyeru pegawai kanan wanita dalam perkhidmatan awam agar fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rak­yat, menyokong kerajaan dalam mempertingkatkan produkti­viti dan mengukuhkan imej sektor awam sebagai sektor utama dalam memacu pembangunan negara.
Mengulas lanjut mengenai TN50, Ali berkata, golongan wanita telah dikenal pasti sebagai salah satu fokus utama dalam TN50 kerana peranan mereka dalam sektor awam perlu diteliti menjelang 2050.
“Kerajaan percaya pegawai-pegawai wanita dalam perkhidmatan awam akan terus mendukung aspirasi kepemimpinan negara dan memberi sumbangan berkesan dalam pembangunan negara,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada 14 pegawai wanita.
Utusan Malaysia Online

Thursday, March 2, 2017

Berita@INTURA Februari 2017

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar