Ali Hamsa berbual mesra dengan pegawai-pegawai wanita JUSA C dan pegawai khas di Dewan Perbendaharaan Malaysia, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 2 Mac - Kerajaan sudah melepasi sasaran kuota 30 peratus untuk meletakkan golongan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi apabila 1,419 pegawai wanita atau 35.6 peratus golongan itu kini berada dalam peringkat pembuat dasar di dalam sektor awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, jumlah tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan dalam perkhidmatan awam kerana peranan wanita diiktiraf di negara ini dalam pentadbiran negara.
“Berdasarkan statistik semasa, pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5 peratus dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kumpulan pelaksana dan peratusan ini tidak termasuk polis dan tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis amanat Ketua Setiausaha Negara kepada pegawai wanita perkhidmatan wanita jawatan utama dan jawatan gred khas sektor awam (JUSA) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 pegawai wanita itu merupakan idea Ali untuk merapatkan jalinan hubungan dan berkongsi idea mengenai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Dalam ucapannya, Ali menyeru pegawai kanan wanita dalam perkhidmatan awam agar fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rakyat, menyokong kerajaan dalam mempertingkatkan produktiviti dan mengukuhkan imej sektor awam sebagai sektor utama dalam memacu pembangunan negara.
Mengulas lanjut mengenai TN50, Ali berkata, golongan wanita telah dikenal pasti sebagai salah satu fokus utama dalam TN50 kerana peranan mereka dalam sektor awam perlu diteliti menjelang 2050.
“Kerajaan percaya pegawai-pegawai wanita dalam perkhidmatan awam akan terus mendukung aspirasi kepemimpinan negara dan memberi sumbangan berkesan dalam pembangunan negara,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada 14 pegawai wanita.
Utusan Malaysia Online