Wednesday, May 17, 2017

Laksanakan segera projek diluluskan

Tan Sri Dr Ali Hamsa

PUTRAJAYA 16 Mei – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menegur sikap sese­tengah agensi kerajaan yang me­­nangguhkan pelaksanaan pro­­jek-projek kerajaan menye­babkan berlaku kelewatan sehingga dua atau tiga bulan selepas diluluskan.
Beliau memberitahu, antara alasan yang sering diberi oleh agensi kerajaan untuk melewatkan pelaksanaan projek adalah mereka perlu melakukan perancangan terlebih dahulu.
“Sepatutnya jentera pelaksanaan agensi tersebut telah bersiap sedia sementara me­nunggu kelulusan.
“Tiada ruang untuk perancangan apabila peruntukan itu diluluskan. Agensi sepatutnya merancangnya awal-awal lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.
Tegas Ali, penjawat awam tidak sepatutnya melengah-le­ngahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, sebaliknya semua dasar, projek dan program kerajaan perlu dilaksanakan segera selepas diluluskan.
Ini kerana, katanya, soal penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh dilengah-lengahkan dan langkah tersebut selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tahun ini sebagai tahun penyampaian.
“Penjawat awam diingatkan supaya mempertingkatkan daya usaha untuk penyampaian perkhidmatan. Kita tidak boleh lagi menunggu. Kadang-kadang ada projek yang diluluskan tetapi dari segi pelaksanaan berlaku kelewatan sehingga dua tiga bulan.
“Saya telah meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk memantau dari segi pelaksanaan program dan projek kerajaan supaya impaknya sampai kepada rakyat dengan serta-merta seperti yang dihasratkan oleh kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ali menjelaskan, sesi penjawat awam berkongsi pandangan mengenai gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan diadakan pada 30 Mei ini.
Beliau berkata, sesi Perdana Menteri bersama penjawat awam di Kementerian Kewangan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan berinteraksi dengan para penjawat awam dalam membentuk sektor perkhidmatan awam negara menjelang 2050.
“Penjawat awam perlu bersama-sama berpandangan jauh, tidak leka atau khusyuk dengan pencapaian masa kini,” kata­nya.

Utusan Malaysia Online

Perlu laksanakan serta-merta


Ali Hamsa

PUTRAJAYA 16 Mei - Semua dasar, projek dan program kerajaan perlu dilaksanakan serta-merta selepas diluluskan, tegas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Beliau berkata, penjawat awam tidak boleh melengah-lengahkan soal penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, langkah tersebut selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tahun ini sebagai tahun penyampaian.
"Penjawat awam diingatkan supaya mempertingkatkan daya usaha untuk penyampaian perkhidmatan. Kita tidak boleh lagi menunggu. Kadang-kadang ada projek yang diluluskan tetapi dari segi pelaksanaan berlaku kelewatan sehingga dua tiga bulan.
"Saya telah meminta pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk memantau dari segi pelaksanaan program dan projek kerajaan supaya impak daripadanya sampai kepada rakyat dengan serta-merta seperti yang dihasratkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online

Naikkan gred Pengarah Pendidikan negeri - Mahdzir

ISKANDAR PUTERI 16 Mei - Kementerian Pendidikan berharap gred jawatan sebahagian Pengarah Pendidikan negeri dapat dinaikkan daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C menjadi JUSA B.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai kenaikan gred itu dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Kenaikan gred ini misalnya, boleh dimulakan di Johor, memandangkan jumlah guru di negeri ini yang ramai dan ditadbir urus oleh Pengarah Pendidikan negeri.
"Justeru, kementerian berharap agar perkara mengenai kenaikan gred Pengarah Pendidikan negeri ini dapat dipercepatkan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 di Kompleks Sukan Educity, di sini sebentar tadi.
Majlis pelancaran perayaan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Utusan Malaysia Online

Sunday, May 14, 2017

Pejabat Daerah Setiu hasilkan Direktori Bantuan Rakyat

SETIU 13 Mei - Pejabat Daerah Setiu menghasilkan Direktori Bantuan Rakyat yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai pelbagai skim bantuan dan insentif untuk rakyat yang disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Buku itu akan dilancarkan malam ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee sempena majlis penutup Festival Pekan Budaya Daerah Setiu 2017 di Laman Sri Rhu 10, Penarik dekat sini.
Pegawai Daerahnya, Rosdi Awang berkata, direktori tersebut boleh dijadikan rujukan dan panduan buat rakyat yang layak agar mereka tidak tercicir daripada menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan ke arah meningkatkan taraf kehidupan keluarga.
"Direktori Bantuan Rakyat ini akan diagihkan kepada kesemua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K)  dalam daerah ini.
"Idea menghasilkan buku ini tercetus ekoran ramai dalam kalangan rakyat yang masih tidak tahu terdapat pelbagai bentuk bantuan yang disediakan untuk mereka oleh jabatan dan agensi kerajaan," katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online

Saturday, May 13, 2017

Minat lulusan perubatan perlu dinilai

Zainal Rahim Seman

KOTA KINABALU 12 Mei - Kerajaan perlu mempunyai ka­edah tertentu bagi menilai mahasiswa perubatan yang mempunyai kecen­de­rungan atau minat yang tinggi untuk menjadi doktor selepas tamat pengajian dan latihan (housemanship).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Zainal Rahim Se­man berkata, penilaian itu penting bagi memastikan ki­ra-kira 5,000 mahasiswa perubatan yang tamat pe­ngajian setahun serta mere­ka yang menjalani latihan selama dua tahun benar-benar layak serta mahu menjadi doktor.
“Berdasarkan kajian JPA, daripada 5,000 yang tamat pengajian setahun dan menjalani latihan selama dua ta­hun, hanya 2,500 sahaja yang benar-be­nar mempunyai kesungguhan serta minat untuk menjadi doktor perubatan.
“Oleh itu, perlu ada kaedah tertentu bagi menilai kecenderungan atau minat mereka untuk terus menjadi doktor perubatan, pergigian dan ahli farmasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi interaksi bersama mahasiswa tajaan JPA di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Yang hadir sama Setia­usa­ha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd. Thani serta Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.
Zainal Rahim menambah, terdapat lulusan yang me­mi­lih untuk berkhidmat di sektor swasta dan mem­bu­ka perniagaan dalam bi­dang perubatan selepas me­namatkan latihan.
“Perkara ini (berkhidmat) di sektor swasta adalah pi­li­han mereka tetapi kerajaan amat mengalu-alukan mereka supaya terus menabur bakti di hospital kerajaan,” ka­tanya.
Ditanya sekiranya 5,000 lulusan pe­ngajian perubatan menunjukkan mi­nat dan kesungguhan, Zainal Rahim menjelaskan, mereka akan ditempatkan secara berperingkat-peringkat bergan­tung kepada kekosongan.

Utusan Malaysia Online

Friday, May 12, 2017

Kebajikan jururawat perlu perhatian

NORHAYATI ABDUL RASHID (kiri) bertanyakan sesuatu kepada kakitangannya di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak.


IPOH 11 Mei – Mungkin ramai yang tidak menyedari tarikh 12 Mei setiap tahun merupakan Hari Juru­rawat Sedunia yang disambut di seluruh dunia.
Sambutan tahunan itu untuk mengenang dan menghargai sumbangan para jururawat yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan kesihatan setiap negara.
Tarikh tersebut tidak harus dilupakan sebagai menghargai individu yang banyak berkorban untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sihat.
Setimpal dengan pengorbanan jururawat, maka soal gaji, elaun, tempat kerja yang kondusif, kemudahan lengkap, keselesaan di tempat kerja dan peluang melanjutkan pelajaran untuk golongan itu perlu diberikan perhatian.
Itu merupakan antara perkara yang diperjuangkan oleh Kesa­tuan Jururawat Malaya yang kini mempunyai hampir 23,000 ahli di seluruh negara.
Presidennya, Norhayati Abdul Rashid berkata, secara keseluruhannya perjuangan kesatuan adalah memastikan kebajikan ahli-ah­linya terbela, sesuai dengan jasa dan pengorbanan jururawat yang cukup besar dari segi masa dan tenaga.
Menurutnya, kebajikan jurura­wat­ perlu diberikan perhatian kerana kerjaya mereka cukup mulia dan tidak semua orang mampu menjalankan tugas-tugas sedemikian.
Mengenai soal gaji Norhayati berkata, antara aspek yang perlu dikaji adalah elaun asas jururawat daripada RM100 dinaikkan kepada RM300 dan perkara itu sedang dibincangkan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
“Gaji jururawat harus dikaji apatah lagi ketika kenaikan harga barang dan harga rumah. Jururawat wajar menikmati gaji yang setimpal kerana mereka bekerja tanpa mengira masa.
“Hospital tidak akan tutup selepas pukul 5 petang. Jururawat seperti anggota polis, bekerja se­panjang masa termasuklah hari cuti umum kerana orang sakit tidak kira cuti atau tidak,” kata­nya di sini.
Menurut Norhayati, selain itu, kesatuan juga mencadangkan supaya pada masa akan datang jururawat yang bertugas pada waktu malam diberikan elaun khas sebagai daya tarikan untuk mereka bertugas pada masa tersebut.
“Bukan mudah untuk mereka bertugas di luar waktu pejabat apatah lagi kepada yang sudah berkeluarga, jadi perlu ada daya tarikan,” katanya.
Turut menjadi perhatian kesatuan adalah soal melanjutkan pelajaran dalam kalangan jururawat untuk meningkatkan kema­hiran.
Dalam hal itu menurut Norha­yati, peluang untuk melanjutkan pelajaran sememangnya ada, na­mun disebabkan kekangan tugas seharian dan jumlah petugas yang terhad, maka itu menjadi halangan.
Jelasnya, walau apa pun caba­rannya, jururawat tetap menja­lankan tugas dan amanah menjaga pesakit dengan rawatan op­ti­mum.
“Jururawat tidak boleh memberikan rawatan substan­dard kerana inilah ikrar kami untuk menjaga pesakit dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Tuesday, May 2, 2017

Berita@INTURA April 2017


Sila klik imej untuk paparan sebenar