Monday, March 31, 2014

KERAJAAN JIMAT RM12.8, JUTA MENERUSI LANGKAH PENSTRUKTURAN SEMULA JPA

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM12.8 juta kos emolumen dapat dijimatkan menerusi langkah penstrukturan semula penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pendekatan itu melibatkan kira-kira 500 anggota JPA sejak Mac tahun lalu.

"Langkah ini hanya melibatkan penempatan semula 507 kakitangan JPA ke agensi-agensi kerajaan yang lain dan tiada pekerja yang ditamatkan perkhidmatan.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak meminta saya melakukan transformasi semasa saya melaporkan diri di JPA pada 15 Mac lalu dan kini langkah itu sudah dilaksanakan di JPA dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2014, di ibu negara, Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.

Menyentuh mengenai inovasi, Mohamad Zabidi berkata setiap agensi perlu memberi fokus kepada dua faktor utama bagi menggalakkan inovasi iaitu penghasilan produk berkualiti tinggi dan proses yang lebih singkat.

"Proses inovasi kena cepat, contohnya kalau dulu ada 10 peringkat membuat keputusan, barangkali sekarang mungkin perlu ada dua atau tiga peringkat sahaja", katanya.

Pada majlis itu, MARA melancarkan Polisi Tiada Hadiah yang melarang serta-merta pemberian dan penerimaan hadiah bagi 18,000 kakitangannya di seluruh negara dengan pihak luar yang berkaitan dengan tugas rasmi.


Bernama Online

No comments: