"Bantulah ikut kemampuan." Begitulah harapan Panglima Tentera Darat (TD), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor apabila Tabung Hari Pahlawan tidak mendapat sambutan daripada masyarakat dan syarikat perniagaan.
Beliau yang bakal dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa 16 Disember ini berkata, bekas anggota keselamatan yang cedera dan kurang upaya serta waris mereka yang terkorban masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat.
Ujarnya, mungkin juga kempen tersebut tidak mendapat sambutan yang sepatutnya kerana medium penyampaian yang digunakan kurang berkesan dan tidak sampai kepada kumpulan sasaran.
Dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di Kuala Lumpur Jumaat lalu, Raja Mohamed Affandi turut mengulas tentang program kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan program transformasi TD khususnya modal insan bagi meningkatkan kemahiran serta kepakaran anggota.
Beliau juga menjelaskan tentang beberapa strategi dan pendekatan proaktif yang diambil oleh TD bagi membantu pihak berkuasa mengekang ancaman kumpulan militan Daesh di negara ini.
Ini termasuk menambah kekuatan serta meningkatkan dan mengetatkan kawalan di kawasan sempadan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.
Pada masa sama, TD memberikan tumpuan memastikan anggotanya tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan pengganas itu.
"Saya amat terharu dengan titah Tuanku Sultan Perak. Ia sesuatu yang amat menyentuh perasaan saya dan saya yakin ia turut menyentuh perasaan ratusan ribu warga veteran mahupun mereka dalam perkhidmatan. Kami sanjung dan menjunjung setinggi-tinggi kasih." kata Raja Mohamed Affandi.
Ikuti wawancara Mingguan Malaysia dengan Raja Mohamed Affandi.
Mingguan: MinDef telah menetapkan hala tuju yang jelas, antaranya adalah melestarikan kebajikan anggota, veteran dan rakyat keseluruhannya. Sebagai Pengerusi Bersama Teras Kebajikan, apakah tumpuan Tan Sri dalam memastikan hala tuju ini tercapai?
RAJA MOHAMED AFFANDI: Pelaksanaan melalui pendekatan teras adalah satu gagasan besar YB Menteri Pertahanan. Untuk memacu kelestarian ATM dan khususnya TD mulai tahun 2016 dengan lebih terarah dan terancang, lima teras telah diperakukan sebagai pacuan kecemerlangan organisasi dan keberkesanan menyempurnakan tanggungjawab. Kebajikan adalah salah satu teras yang diperakukan oleh YB Menteri sebagai kaedah penting bagi memenuhi gagasan.
Saya sendiri berasa bangga dan puas bila diberikan amanah ini. Apabila kita memperkatakan soal kebajikan, ia mencakupi ruang dan bidang yang luas. Selaku Pengerusi Bersama, saya beriltizam untuk meningkatkan kualiti hidup dan secara berterusan membantu warga ATM dan keluarga mereka, juga veteran ATM serta rakyat keseluruhannya. Fokus Teras Kebajikan adalah untuk memastikan kumpulan yang dinyatakan menikmati keselesaan, kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup.
Bagi tujuan ini, pelbagai inisiatif dan program yang telah dan akan dilaksanakan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan. Saya penuh yakin dengan fokus yang diberi dalam Teras Kebajikan, secara langsung dapat menjamin keselamatan secara keseluruhannya.
Apakah limpahan yang akan dinikmati oleh rakyat keseluruhannya?
RAJA MOHAMED AFFANDI: Di samping warga, keluarga dan veteran, kami juga melihat peri penting rakyat negara ini juga mendapat limpahan manfaatnya. Oleh itu, kita ketengahkan elemen rakyat. Teras Kebajikan telah menetapkan dua inisiatif khusus untuk rakyat iaitu Program Jiwa Murni dan inisiatif-inisiatif di bawah NBOS ATM. Melalui Program Jiwa Murni ATM, selain daripada bantuan yang lazim diberi, beberapa program yang memerlukan kepakaran tertentu ATM telah dilaksanakan di kawasan pedalaman di seluruh negara seperti menyediakan bekalan air bersih, membina jalan raya, jambatan, membaik pulih rumah dan menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pergigian kepada masyarakat. Program-program ini telah memberi impak yang besar terhadap kelangsungan hidup rakyat terutama kepada masyarakat luar bandar.
Manakala melalui inisiatif NBOS, ATM telah memberi sumbangan yang besar dalam mentransformasikan masyarakat menerusi kolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan yang memberi manfaat besar kepada rakyat adalah program rondaan bersama ATM – PDRM bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, program pemulihan dan kemahiran kepada banduan (ODS) melalui Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di enam kem TD, memperkasakan akhlak melalui Program Remaja Berwawasan dan memberi latihan kemahiran kepada belia menerusi Mobile Youth Transformation Vocational (MyTV). MyTV adalah satu inisiatif yang baik. Belia-beliawanis akan mampu menggunakan kemahiran untuk menambah pendapatan. Kami amat bangga dengan program ini.
Sewaktu sambutan Hari TD yang ke-83, Tan Sri telah menyebut mengenai transformasi TD, bolehkah Tan Sri mengulas mengenai pembangunan TD khususnya dalam aspek pembangunan modal insan?
RAJA MOHAMED AFFANDI: Sebagaimana yang telah saya sebutkan semasa sambutan Hari TD awal tahun ini, transformasi TD dibuat berlandaskan acuan yang telah ditetapkan oleh YB Menteri Pertahanan dan ATM. Rancangan pembangunan jangka panjang TD telah dirangka di bawah Army 2 10 Plus 10. Saya berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai setakat ini. Sebagai kesinambungan kepada rancangan pembangunan ini, kita sedang membuat penilaian semula dengan pelan yang saya panggil Army 4 Next G bagi menyesuaikandengan perubahan landskap geo-strategik dan keperluan untuk menangani isu-isu keselamatan di bawah 5th Generation Warfare. Army 4 Next G mengambil kira aspek tangible dan intangible.Dalam aspek tangible kita memberi tumpuan kepada penggantian aset-aset yang telah lama dan menentukan kesiagaan aset-aset sedia ada.
Dalam pembangunan modal insan iaitu aspek intangible, pembangunan yang seiring dan lebih terarah terhadap man, machine and method telah dirangka. Tumpuan diberi kepada latihan dan pembangunan agar TD mampu melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai kompetensi tinggi, memiliki kemahiran dan kepakaran sebagaimana yang dikehendaki. Bagi tujuan ini transformasi latihan dan pembangunan telah dilakukan dengan mewujudkan Akademi Tentera Darat (ATD) di mana pembangunan dan latihan untuk anggota LLP diletakkan di bawah Kolej LLP manakala untuk pegawai di bawah Kolej Pegawai.
Adalah menjadi harapan saya melalui transformasi ini akan membolehkan kursus-kursus yang dilaksanakan di ATD khususnya Kolej LLP akan mendapat pengiktirafan dari universiti-universiti tempatan. Dengan kelayakan akademi dan pengalaman kerja yang mereka miliki ini akan membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan sama ada dalam sektor awam atau swasta apabila tamat perkhidmatan kelak. TD juga sedang dalam perancangan untuk meningkatkan tahap akademik dalam kalangan pegawai sehingga ke peringkat doktor falsafah. Sekiranya tiada aral melintang, saya menjangkakan program Ph.D dengan kolaborasi dengan Universiti Malaya dapat dimulakan pada tahun pengajian 2017.
Apakah peranan TD dalam OP Daratan selepas tindakan mahkamah diambil terhadap penceroboh Lahad Datu?
RAJA MOHAMED AFFANDI: Beberapa strategi telah dibuat oleh YB Menteri mengenai keselamatan di Sabah. Bagi tujuan ini, TD telah meneliti dan mengambil tindakan susulan. TD sentiasa memastikan trup dan aset yang diatur gerak untuk tugas operasi berada pada tahap kesiagaan yang tinggi pada sebilang masa. Pelaksanaan operasi di Pantai Timur Sabah akan diteruskan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Aturgerak TD di Pantai Timur Sabah ini akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa keselamatan mereka sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan.
Selain daripada itu dan selaras dengan rancangan pembangunan TD, penubuhan 13 Briged ESSCOM di Cenderawasih, Lahad Datu telah direalisasikan bagi mengukuhkan lagi pertahanan Pantai Timur Sabah. Saya percaya penubuhan Briged ini dengan dibantu oleh pasukan tempur dan bantuan tempur lain yang dilengkapi sistem persenjataan terkini mampu memberi nilai tambah dari segi kuasa tempur sekali gus meningkatkan keupayaan TD di kawasan tersebut.
Aset udara PUTD yang terdiri daripada helikopter yang dilengkapi dengan senjata-senjata terkini juga telah ditempatkan bersama-sama dengan kenderaan berperisai termasuk GEMPITA khusus untuk digunakan di kawasan berkenaan.
Bagaimana Tan Sri melihat ancaman Daesh di negara ini. Apakah persediaan dan peranan yang perlu dilakukan segera oleh TD dan ATM dalam membantu menangani masalah ini?
RAJA MOHAMED AFFANDI: Saya melihat ancaman Daesh ini merupakan satu ancaman nyata yang turut memberi kesan kepada negara-negara lain di rantau ini. Daesh dilihat lebih berbahaya kerana mereka mampu dan berupaya mempengaruhi dan merekrut ahli-ahli baru dengan memperalatkan ajaran Islam demi kepentingan mereka. Antara kelebihan kumpulan ini adalah mereka dapat menggunakan media sosial sebagai medium untuk propaganda mereka.
TD telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam membantu pihak berkuasa menangani isu Daesh. Langkah utama TD adalah memastikan warga TD itu sendiri tidak terlibat dan terpengaruh dengan propaganda Daesh. Langkah ini adalah penting kerana anggota TD merupakan mereka yang terlatih dan sentiasa menjadi focal point kepada kumpulan ini.
Dalam usaha menangani ancaman Daesh, TD dan PDRM sering bekerjasama dalam pelbagai aspek. Antara aspek yang diberikan keutamaan adalah pertukaran maklumat perisikan, rondaan bersama di KLIA, kawasan-kawasan hotspot yang menjadi hub aktiviti ekonomi negara, pusat tumpuan orang ramai dan kawasan-kawasan tempat ibadat. Langkah ini dibuat bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Selain itu, TD juga telah meningkatkan kesiagaan dan kawalan di kawasan-kawasan operasi di sepanjang sempadan negara bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh kumpulan ini. Tindakan ini termasuklah menambah paras kekuatan anggota dan aset secara berkala di sempadan untuk mengetatkan kawalan. TD juga sentiasa membuat penilaian dari semasa ke semasa mengenai potensi ancaman dan tindakan korektif akan segera dilaksanakan sekiranya situasi memerlukan.
Bagi tujuan ini, kita sentiasa mengkaji kaedah pelaksanaan agar kebarangkalian dapat dikurangi. TD bertekad menjaga keselamatan persempadanan negara dengan baik dan penuh tanggungjawab. Saya menaruh keyakinan dan tidak ragu bahawa warga TD memegang teguh sumpah, ikrar dan taat setia mereka untuk mempertahankan pertiwi dan bumi berdaulat ini. Dengan itu saya menyeru seluruh warga TD untuk mengelakkan diri daripada terjebak fahaman yang jika dilihat dari pelbagai sudut agama kita pun adalah tersasar dari ajarannya yang sebenar.
Baru-baru ini Sultan Perak menyatakan dukacita kerana Tabung Hari Pahlawan tidak mendapat sambutan sepatutnya dalam masyarakat dan juga swasta dan GLC. Di mana silapnya dan apa yang perlu dilakukan supaya pengorbanan ATM tidak dilupa?
RAJA MOHAMED AFFANDI: Saya amat terharu dengan titah Tuanku Sultan Perak. Ia sesuatu yang amat menyentuh perasaan saya dan saya yakin ia turut menyentuh perasaan ratusan ribu warga veteran mahupun mereka dalam perkhidmatan. Kami sanjung dan menjunjung setinggi-tinggi kasih.
Saya melihat pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menguar-uarkan Kempen Hari Pahlawan sejak sekian lama. Namun begitu, inisiatif ini dilihat kurang berkesan berkemungkinan medium penyampaian yang digunakan tidak sampai kepada kumpulan sasaran. Ada juga kemungkinan GLC dan masyarakat tidak menyedari kewujudan kempen ini. Saya percaya dan penuh yakin masyarakat Malaysia sebenarnya prihatin kepada jasa dan pengorbanan pahlawan yang telah banyak berkorban jiwa dan raga untuk tanah air tercinta. Pengorbanan dan jasa mereka sewajarnya diingati dan diberikan penghargaan. Dalam hal ini bukan sahaja GLC malahan rakyat negara ini juga harus ada di sudut hati kecil mereka perasaan bangga dan ungkapan terima kasih di atas penyertaan pasukan keselamatan khususnya TD.
Pada kesempatan ini saya menyeru semua pihak agar dapat menghayati dan menyemarakkan kempen Hari Pahlawan yang diadakan pada setiap tahun. Waris mereka yang terkorban serta mereka yang cedera dan kurang upaya masih memerlukan bantuan dan sokongan dari masyarakat. Justeru berikanlah sokongan dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Sekecil mana pun bantuan yang kita hulurkan, pastinya dapat meringankan beban yang mereka tanggung.
Sekiranya kita tidak mampu memberi bantuan dalam bentuk material, panjatkanlah doa untuk mereka. Sokonglah mereka kerana mereka telah mengorbankan nyawa dan raga sebagai galang ganti agar nikmat keamanan dirasai oleh rakyat dan juga untuk generasi akan datang.
Utusan Malaysia Online