JOHOR BAHRU 28 Ogos - Dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di pejabat Imigresen seluruh negara, hanya empat negeri dibenarkan membuka kaunter serahan pasport secara online, My Online Passport bermula 1 September ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, empat negeri itu adalah Pahang, Sarawak, Pulau Pinang dan Putrajaya dipilih menjadi perintis sebelum diperluaskan ke seluruh negara jika proses tersebut berjalan lancar.
Menurutnya, selain urusan serahan pasport melibatkan pejabat Imigresen di empat negeri berkenaan, pejabat agensi itu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini dan Pudu Sentral juga dibenarkan kerana menjadi lokasi tumpuan orang ramai.
"Permohonan pasport secara online boleh dilakukan di mana-mana dan mereka juga dibenarkan memilih kaunter serahan di empat negeri terlibat. Sebagai contoh, permohonan online di Johor dan ingin mengambilnya di Pulau Pinang.
"Kita percaya menerusi pelaksanaan sistem itu dapat mengatasi masalah kesesakan di pejabat-pejabat imigresen," katanya selepas melawat ke Jabatan Imigresen Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Setia Tropika di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari.
Mustafar berkata, My Online Passport diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai memilih untuk membuat permohonan pembaharuan pasport secara dalam talian dengan memasukkan butiran diminta serta membuat pembayaran sebelum mengambil pasport.
Dalam menjayakan usaha itu, Jabatan Imigresen tetap meniktikberatkan aspek tertentu terutamanya dari segi keselamatan termasuk kawalan kualiti selain mewajibkan pemohon sahaja yang boleh datang mengambil pasport mereka.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment