Sunday, July 29, 2012

Tindakan tegas jika penjawat awam terbabit

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang membeli ijazah palsu untuk menyertai perkhidmatan itu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata jika ada bukti mana-mana pegawai kerajaan menggunakan ijazah palsu, tindakan boleh diambil terhadap mereka.
    
Belum terima laporan

Bagaimanapun, Ali berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang laporan daripada polis mengenai pembabitan penjawat awam dalam kegiatan itu.

Tindakan tegas

“Sekiranya ada penjawat awam memperoleh ijazah tidak sah maka tindakan akan diambil berdasarkan peraturan sedia ada dan kita menunggu laporan polis mengenainya,” katanya ketika ditemui di Akademi Kenegaraan di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan BH baru-baru ini mengenai sebuah syarikat pendidikan berpangkalan di Subang Jaya dekat sini, menjual ijazah palsu daripada tiga universiti antarabangsa. Terdahulu, Ali menghadiri Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara dan majlis penyampaian bantuan kepada 17 pelajar Malaysia di Universiti Iowa State, Amerika Syarikat (AS) yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran pada 15 Julai lalu.

Beliau menyampaikan sumbangan sektor swasta sebanyak AS$500 (RM1,500) kepada setiap pelajar membabitkan 10 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (enam) dan seorang pelajar yang dibiayai sendiri keluarganya.

Sementara itu, Ali menggesa ketua jabatan supaya turut memberi tumpuan kepada kebajikan penjawat awam khususnya kemudahan tempat kerja mereka.

“Ini untuk memastikan penjawat awam selesa bekerja. Baru-baru ini, saya membuat lawatan mengejut ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur dan terkejut melihat anggota polis menggunakan kerusi plastik yang tidak selesa,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: