Saturday, August 24, 2013

PELANTIKAN ANAK MOHAMED NAZRI TIADA HUBUNGAN KAIT DENGAN PERKHIDMATAN AWAM - KSN

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Pelantikan anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai pegawai khas, tidak mempunyai hubung kait dengan perkhidmatan awam. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pelantikan yang dibuat itu tidak melalui struktur pentadbiran Kementerian Pelancongan.
 

"Sebaliknya ia adalah 'arrangement' yang berasingan dan kita tidak luluskan apa-apa pelantikan seperti itu... ia hanyalah jawatan dalam struktur politik," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian dan jabatan kerajaan di sini Jumaat.
 

Beliau diminta mengulas mengenai isu Mohamed Nazri yang didakwa mengambil anaknya Muhammad Nedim sebagai pegawai khas di kementeriannya.
 

Mohamed Nazri sebelum ini menjelaskan anak lelakinya hanya bertugas dengan beliau untuk berkhidmat kepada golongan muda di kawasan Parlimen Padang Rengas di Perak, pelantikan itu adalah tidak rasmi serta tidak dibayar gaji oleh kerajaan.
 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum ini berkata Menteri Kabinet atau Anggota Parlimen boleh menggunakan anggota keluarga mereka sebagai pembantu khas di kawasan parlimen masing-masing.
 

BERNAMA ONLINE

No comments: