Saturday, August 24, 2013

PROGRAM TRANSFORMASI JADIKAN JPA LEBIH KREATIF DAN INOVATIF - KSN

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Program transformasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), berupaya menjadikan agensi itu lebih kreatif dan berinovatif, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Katanya JPA menjadi agensi pertama yang menyiapkan program transformasi dan langkah itu sekali gus dapat mengurangkan kerenah birokrasi yang sering dikaitkan dengan perkhidmatan awam.
 

"Tahniah dan terima kasih kepada ketua pengarah JPA, pengurusan tertinggi, pegawai dan semua kakitangan kerana telah berjaya menghasilkan program transformasi yang amat dinamik," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
 

Beliau sebelum itu menghadiri majlis sambutan Aidilfitri yang dianjurkan dengan kerjasama semua kementerian dan jabatan kerajaan di Kompleks C di sini, antaranya JPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perangkaan.
 

Ali berkata lebih membanggakan kejayaan itu dilakukan secara dalaman tanpa menggunakan konsultan luar, sekali gus mempamerkan kemampuan penjawat awam dalam menghasilkan sebuah program transformasi.
 

"Kejayaan itu akan menjadikan JPA sebagai penanda aras kepada program transformasi dan berharap semua agensi dan kementerian lain di seluruh negara akan mengikuti jejak langkah sama," katanya.
 

Ali berkata beliau difahamkan program transformasi Kementerian Kewangan kini dalam peringkat kajian dan akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.
 

BERNAMA ONLINE

No comments: