Sunday, November 10, 2013

CUEPACS desak percepat kaji naik elaun

IPOH 8 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mempercepatkan kajian terhadap kenaikan elaun dan insentif baharu untuk penjawat awam ekoran peningkatan kos sara hidup.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, cadangan-cadangan mengenai kajian itu telah pun diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada awal tahun ini.

Namun, jelas beliau sehingga kini kesatuan belum menerima maklum balas.

"Cadangan itu merangkumi kajian terhadap kenaikan imbuhan tetap perumahan, Elaun Sara Hidup (COLA) yang diselaraskan serta mengkaji semula pinjaman perumahan untuk penjawat awam.

"Kenaikan elaun dan insentif itu tidak diumumkan di bawah penambahbaikan kepada 81 skim perkhidmatan awam sedia ada di dalam Bajet 2014 baru-baru ini," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di sini hari ini.

Di bawah penambahbaikan kepada 81 skim perkhidmatan awam yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, lebih 600,000 penjawat awam akan mendapat faedah.

Antaranya kenaikan taraf skim perkhidmatan, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan penggabungan serta pindaan nama beberapa skim perkhidmatan.

Omar berkata, kenaikan elaun dan insentif perlu disegerakan untuk membantu penjawat awam terutama untuk membeli rumah kerana harga hartanah itu yang semakin tinggi sehingga membebankan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ini kerana kelayakan untuk membeli rumah bergantung kepada gaji bakal pembeli.
"Sebagai contoh, seseorang penjawat awam bergaji RM1,200 sebulan, sudah tentu tidak layak untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah yang berharga RM150,000.

"Jadi kita mahu pinjaman perumahan mestilah mengikut harga yang telah ditawarkan kepada pembeli," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: