MOHAMAD Ridzwan Mohd. Tahar (dua dari kanan) melawat pameran selepas merasmikan Seminar Pra-Persaraan dan Hari Bertemu Pelanggan Penjawat Awam Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN 8 Nov. - Persedian untuk menghadapi alam persaraan adalah mustahak bagi penjawat awam kerana jika tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan berlaku kesukaran untuk kehidupan yang selesa selepas tamat perkhidmatan.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, penjawat awam perlu merancang dengan baik persaraan semasa dalam perkhidmatan kerana akan memudahkan mereka pada masa akan datang.
"Ini kerana kebanyakan penjawat awam menghadapi kesukaran untuk kehidupan yang selesa selepas persaraan kerana gagal merancang pendapatan mereka sewaktu berkhidmat.
"Apa tidaknya, salah satu faktor adalah apabila pencen bulanan yang akan diterima pesara nanti adalah 50 peratus daripada gaji bulanan yang ada sekarang ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Mohamad Ridzwan Mohd. Tahar sempena Seminar Pra-Persaraan dan Hari Bertemu Pelanggan Penjawat Awam Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Seramai 1,500 penjawat awam dari agensi Persekutuan dan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan bersara hadir dalam seminar tersebut.
Menurut beliau, jika perancangan dibuat dengan baik, mungkin pesara tidak perlu bekerja semula di sektor swasta selepas persaraan mereka.
"Sepatutnya selepas bersara merupakan masa kita bersenang-lenang atau membina perniagaan sendiri. Justeru, fikirlah untuk masa depan yang baik bagi kita dan keluarga," katanya.
Muhammad Safian berkata, masih ramai penjawat awam yang belum bersedia untuk menghadapi persaraan kerana mempunyai pelbagai masalah.
"Terdapat beberapa kes yang berlaku sebelum ini, didapati ada pesara yang menghadapi masalah mengharungi dunia persaraan akibat perancangan yang tidak mencukupi.
"Mereka terlalu leka dan mengamalkan cara hidup yang mewah. Ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung beban hutang, tidak mempunyai tempat tinggal dan ada yang menghabiskan sisa hidup di rumah orang tua," katanya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment