Friday, December 26, 2014

SEKTOR AWAM PERLU LAKUKAN TRANSFORMASI UNTUK HADAPI CABARAN - KSN


KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Sektor awam di negara ini, yang menghadapi cabaran berbeza daripada sedekad lepas, perlu melakukan perubahan, transformasi dan bersifat inovatif dari segi pendekatan agar tidak ketinggalan zaman, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Beliau berkata sejajar dengan itu, pelaksanaan transformasi dalam sektor awam menjadi fokus utama sejak beberapa tahun kebelakangan bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perubahan yang berlaku. 

"Orang sering bertanya sama ada kita (sektor awam) masih relevan kerana perubahan menunjukkan kita perlu relevan sepanjang masa," katanya ketika merasmikan Persidangan Sektor Awam Sarawak 2014 di sini hari ini. 

Beliau berkata orang sekarang bijak menilai dan mahukan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berkesan kos untuk memenuhi keperluan serta jangkaan mereka. 

"Pada waktu yang sama, kemunculan media sosial memaksa kita berdepan dengan maklum balas positif dan negatif secara masa nyata, manakala jangkaan untuk mendapat respons tepat pada waktunya, walaupun bukan pada waktu itu juga, adalah lebih tinggi daripada sebelum ini. 

"Di peringkat institusi pula, kita menghadapi kekangan fiskal yang mencabar kita untuk melipatgandakan perkhidmatan kepada rakyat dengan menggunakan sumber yang berkurangan," katanya. 

Sejajar dengan itu, Ali menggesa semua penjawat awam supaya berani melakukan transformasi terhadap sektor awam dan tidak mengutamakan kenaikan gaji semata-mata, tetapi hasil yang besar dan lestari dalam bentuk perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai, peningkatan produktiviti dan kecekapan serta pertumbuhan ekonomi. 

Beliau berkata Malaysia memiliki sektor awam yang kukuh, dinamik dan bingkas, yang mampu menggerakkan negara ini ke hadapan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan sepanjang tahun hingga membolehkannya mencapai pertumbuhan besar serta berdaya saing di peringkat global. "Kita perlu terus kurangkan kerenah birokrasi dan memperkenalkan pembaharuan yang boleh meningkatkan kecekapan, meminimumkan kos dan menambah produktiviti," katanya. 

Beliau memuji Perkhidmatan Awam Sarawak kerana mempunyai wawasan - 'Untuk Menjadi Perkhidmatan Awam Kelas Dunia', yang kata beliau agak sama dengan wawasan Kanada 'perkhidmatan awam kelas dunia yang bersedia berkhidmat kepada Kanada dan rakyatnya kini dan pada masa akan datang'. 

Beliau berkata setakat ini tiada negeri lain di Malaysia mempunyai rancangan untuk melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam masing-masing. 

Bernama Online

Tuesday, December 23, 2014

SHARIFAH ZAHARAH KSU BAHARU KKMM - KSN


PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu mulai Isnin. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan Isnin berkata, Sharifah Zarah, 58, menggantikan Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi yang telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. 

"Sharifah Zarah berpengalaman luas dalam bidang pembangunan sosial, sains dan teknologi, hubungan antarabangsa serta pengurusan sumber manusia. "Saya berkeyakinan bahawa kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki beliau akan membolehkan beliau memimpin dan meneruskan kecemerlangan KKMM sebagai peneraju wadah komunikasi dan multimedia negara selaras dengan Agenda Transformasi Nasional," katanya. 

Sharifah Zarah, berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Perancangan Sosial dari University of Leeds, United Kingdom; Ijazah Sarjana dalam bidang Sumber Manusia dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya. 

Beliau mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Dis 1981 dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun. 

Antara jawatan yang pernah disandang Sharifah Zarah ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) dan Setiausaha Bahagian Kanan (Perancangan) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perhubungan Antarabangsa KPWKM. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri/Penasihat Kedutaan Malaysia di New York; Pengarah Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Wanita (Hawa), Jabatan Perdana Menteri; Penolong Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Wanita, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat; Penolong Setiausaha, Unit Perkhidmatan Tentera, Bahagian Perkhidmatan, Kementerian Pertahanan dan Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka. 

Bernama Online

Friday, December 19, 2014

PENJAWAT AWAM DIINGAT TIDAK SEBAR DOKUMEN KERJAAN DI LAMAN SOSIAL

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Penjawat awam negara ini diingatkan tidak menyebarkan sebarang maklumat dan dokumen kerajaan di laman sosial bagi menjamin keselamatan negara. 

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara tersebut tidak harus diambil ringan kerana ia membabitkan kedaulatan dan keamanan masyarakat negara ini. 

"Sebagai penjawat awam kita diberi amanah dan kepercayaan yang tinggi dalam melaksanakan tugas masing-masing. "Kita perlu patuh dengan peraturan dan undang-undang yang sedia ada," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Badan Berkanun di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Khamis. 

Persidangan bertemakan 'Cabaran dan Masa Depan Agensi Badan Berkanun' selama dua hari sehingga Jumaat itu dihadiri seramai 600 peserta daripada 100 agensi badan berkanun. 

Bernama Online

DEWAN NEGARA: KERAJAAN PERTIMBANG SEMAK KADAR ELAUN RUMAH PENJAWAT AWAM TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbang untuk menyemak semula kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) penjawat awam pada tahun hadapan, selepas kali terakhir imbuhan itu disemak pada 2005. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan prihatin menjaga kebajikan penjawat awam dengan membuat semakan gaji dan elaun dari semasa ke semasa supaya ia sejajar dengan kos sara hidup. 

"Pada tahun hadapan, kerajaan akan mempertimbang semula semakan kadar ITP ini sejajar dengan kos sara hidup semasa. 

Namun begitu, ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menaikkan elaun perumahan bagi penjawat awam di negara ini. 

Shahidan berkata ITP ditentukan mengikut gred perkhidmatan pegawai, dan ia diberikan kepada penjawat awam yang tidak menduduki rumah kerajaan atau rumah yang disewa oleh kerajaan. Semakan terakhir kadar ITP pada 1 Januari 2005 telah menetapkan kadar ITP bagi kumpulan pelaksana dinaikkan daripada RM135 kepada RM180 sebulan, katanya.

Bernama Online

Sunday, December 7, 2014

Berita@INTURA November 2014

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar





Saturday, December 6, 2014

DEWAN NEGERI: BONUS SETENGAH BULAN ATAU MINIMUM RM500 UNTUK PENJAWAT AWAM N.SEMBILAN

SEREMBAN, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri dengan bayaran minimum sebanyak RM500. 


Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia sebagai menghargai sumbangan berterusan penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. 

"Bayaran ini akan dijelaskan pada 2 Jan 2015. "Dengan insentif ini, saya amat berharap prestasi kakitangan awam negeri ini akan terus dipertingkat di samping memegang teguh prinsip integriti dalam setiap gerak kerja," katanya ketika berucap semasa membentangkan Bajet Negeri 2015 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. 

Sementara itu, dalam usaha menggalakkan jabatan dan agensi meningkatkan prestasi pengurusan kewangan di tahap 'Sangat Baik' dalam tahun-tahun akan datang, kerajaan negeri memberikan insentif kewangan sebanyak RM10,000 kepada setiap jabatan dan agensi yang berjaya mencapai standard itu. 

Mohamad berkata pada 2013, berdasarkan pemarkahan Jabatan Audit Negara ke atas 14 jabatan dan agensi kerajaan negeri, sembilan jabatan dan agensi berjaya mencapai tahap 'Sangat Baik' dengan markah yang diperoleh melebihi 90 peratus. 

"Lima agensi lagi mencapai tahap 'Baik' dengan markah antara 84.2 peratus dan 89.9 peratus," katanya. Jabatan dan agensi yang telah mencapai kejayaan pada tahap 'Sangat Baik' ialah Majlis Perbandaran Seremban, Pejabat Kewangan Negeri, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Selain itu Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Negeri Sembilan turut mencapai tahap 'Sangat Baik'.

Bernama Online

Friday, December 5, 2014

KSN MINTA AGENSI PERKHIDMATAN AWAM TEKANKAN PEMBANGUNAN INOVASI SOSIAL

JOHOR BAHARU, 4 Dis (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini meminta agensi-agensi perkhidmatan awam di negara ini supaya terus memberi penekanan kepada aspek pembangunan inovasi sosial melalui makmal dan unit inovasi masing-masing. 

Beliau berkata menerusi inovasi sosial, hasil pertumbuhan ekonomi negara yang bertunjangkan agenda transformasi negara, dapat diagihkan bagi memenuhi ekonomi keperluan rakyat. 

"Inovasi sosial merujuk kepada konsep, idea dan strategi membawa kepada penambahbaikan sosial pelbagai lapisan masyarakat menerusi pendekatan inovatif. "Ia merangkumi lapangan pendidikan, kesihatan awam dan pembangunan komuniti," katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, Khamis. 

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. 

Dalam pada itu, Ali mengajak penjawat awam supaya melakukan perubahan minda sekali gus meningkatkan daya kreativiti dan inovasi supaya sentiasa mempunyai fikiran minda kelas pertama. 

Beliau berkata melalui daya pemikiran minda kelas pertama, mutu dan hasil kerja yang dihasilkan bukan sahaja setanding dengan ciptaan negara maju malah diyakini mampu membawa dimensi baharu kepada corak pemikiran masyarakat negara ini. 

Menurutnya penjawat awam perlu terus relevan dalam meningkatkan mutu kualiti penyampaian perkhidmatan dengan memberi perhatian serius kepada pembangunan inovasi dan membudayakan elemen kreativiti secara berterusan. 

"Penjawat awam bukan sahaja perlu berfikiran di luar kotak tetapi juga harus bertindak di luar kebiasaan dalam melahirkan idea kreatif melalui tindakan yang inovatif di masa-masa akan datang," katanya. 


Mengenai KIK, Ali menyarankan kumpulan yang terlibat supaya terus berusaha dan aktif dalam mencipta serta melaksanakan projek KIK yang berkualiti dan berdaya saing seiring dengan keperluan dan tuntutan rakyat.

Bernama Online

Tuesday, December 2, 2014

PENJAWAT AWAM DIMINTA NILAI PRESTASI TUGAS SEPANJANG 2014

KANGAR, 1 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini meminta para penjawat awam di negeri ini menilai prestasi tugas mereka sepanjang tahun ini untuk dijadikan panduan dalam meneruskan tugas menjelang tahun baru 2015. 

Beliau berkata jika berdasarkan penilaian mereka rasa tugas masih kurang memuaskan, mereka harus menanam tekad untuk meningkatkan lagi kualiti kerja. Jika merasakan sudah baik harus dipertingkatkan lagi sebaik sahaja memasuki tahun baru tidak lama lagi, katanya. 

Beliau berucap pada perhimpunan bulanan untuk kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan bagi sesi terakhir 2014. 

Perhimpunan dihoskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis di Dewan Warisan di sini. "Kita juga perlu membuat penilaian sejauh mana sumbangan kita kepada masyarakat dan negeri lebih-lebih lagi dalam memenuhi visi menjadikan Perlis Maju 2015," ujarnya. 

Menteri Besar berkata, Perlis meletakkan 53 indikator untuk dibuat penilaian bagi mengisytiharkan Perlis Maju 2015. Setakat ini 43 indikator sudah diperolehi dengan keyakinan akan memperolehi 47 atau 48 indikator menjelang tahun baru. 

Katanya, pengukuran negeri maju bukan dilihat kepada terbinanya bangunan tinggi dan rumah batu di sana sini. Tetapi banyak lagi penilaian lain diambil kira seperti kebersihan, keselamatan, ekonomi dan peningkatan pendapatan penduduk, kata beliau. 

Sebelum itu, Pengarah Kastam Negeri, Datuk Mohd. Pudzi Man juga memberi jaminan JKDM Perlis turut membantu negeri ini dalam menjayakan Perlis Maju 2015 khusus dalam pungutan hasil di samping membantu menambah pendapatan negara. Katanya, sasaran JKDM Perlis tahun ini mengutip hasil RM142 juta dan hingga semalam sebanyak RM122.4 juta jumlah kutipan hasil sudah diperolehi. 

Diharapkan tempoh sebulan lagi jabatan akan mampu memenuhi sasaran dengan kebanyakan hasil dipungut di pusat pemeriksaan kastam Padang Besar, kata beliau. 

Bernama Online

PENJAWAT AWAM PERLU TURUT DIREMAJAKAN - SHAHIDAN

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Konsep 'peremajaan' yang disebut dalam Perhimpunan Agung Umno perlu turut diterapkan dalam kalangan penjawat awam bagi memberi impak positif terhadap gerak kerja mereka. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata konsep tersebut seharusnya turut diamalkan di peringkat anggota pelaksana dan bukan sekadar di peringkat pembuat dasar. 

"Contohnya seorang renjer hutan berpangkat rendah. Dia ialah pegawai yang buat siasatan, masuk hutan dan sebagainya, tetapi selepas dia berumur dia mungkin tidak mampu lagi membuat kerja-kerja ketika umurnya masih muda. 

"Jadi peremajaan itu mestilah diterapkan dalam kalangan anggota pelaksana," katanya di lobi Parlimen hari ini. Beliau mengulas hasrat Umno seperti yang dinyatakan Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri untuk melahirkan satu saf barisan generasi atau "Jil Umno' yang merupakan pewaris kepimpinan parti di masa depan. Mengulas pengekalan Akta Hasutan, 

Shahidan mempersoal pihak yang mempertikaikannya walaupun ia bertujuan menjaga keharmonian negara. "Kenapa orang sibuk persoalkan akta ini. Ia untuk selamatkan negara, orang yang tentang Akta Hasutan maksudnya menentang negara," katanya. 

Beliau menambah akta itu penting dalam memastikan keharmonian kaum dan keamanan terus terpelihara.

Bernama Online