Friday, December 26, 2014

SEKTOR AWAM PERLU LAKUKAN TRANSFORMASI UNTUK HADAPI CABARAN - KSN


KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Sektor awam di negara ini, yang menghadapi cabaran berbeza daripada sedekad lepas, perlu melakukan perubahan, transformasi dan bersifat inovatif dari segi pendekatan agar tidak ketinggalan zaman, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Beliau berkata sejajar dengan itu, pelaksanaan transformasi dalam sektor awam menjadi fokus utama sejak beberapa tahun kebelakangan bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perubahan yang berlaku. 

"Orang sering bertanya sama ada kita (sektor awam) masih relevan kerana perubahan menunjukkan kita perlu relevan sepanjang masa," katanya ketika merasmikan Persidangan Sektor Awam Sarawak 2014 di sini hari ini. 

Beliau berkata orang sekarang bijak menilai dan mahukan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berkesan kos untuk memenuhi keperluan serta jangkaan mereka. 

"Pada waktu yang sama, kemunculan media sosial memaksa kita berdepan dengan maklum balas positif dan negatif secara masa nyata, manakala jangkaan untuk mendapat respons tepat pada waktunya, walaupun bukan pada waktu itu juga, adalah lebih tinggi daripada sebelum ini. 

"Di peringkat institusi pula, kita menghadapi kekangan fiskal yang mencabar kita untuk melipatgandakan perkhidmatan kepada rakyat dengan menggunakan sumber yang berkurangan," katanya. 

Sejajar dengan itu, Ali menggesa semua penjawat awam supaya berani melakukan transformasi terhadap sektor awam dan tidak mengutamakan kenaikan gaji semata-mata, tetapi hasil yang besar dan lestari dalam bentuk perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai, peningkatan produktiviti dan kecekapan serta pertumbuhan ekonomi. 

Beliau berkata Malaysia memiliki sektor awam yang kukuh, dinamik dan bingkas, yang mampu menggerakkan negara ini ke hadapan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan sepanjang tahun hingga membolehkannya mencapai pertumbuhan besar serta berdaya saing di peringkat global. "Kita perlu terus kurangkan kerenah birokrasi dan memperkenalkan pembaharuan yang boleh meningkatkan kecekapan, meminimumkan kos dan menambah produktiviti," katanya. 

Beliau memuji Perkhidmatan Awam Sarawak kerana mempunyai wawasan - 'Untuk Menjadi Perkhidmatan Awam Kelas Dunia', yang kata beliau agak sama dengan wawasan Kanada 'perkhidmatan awam kelas dunia yang bersedia berkhidmat kepada Kanada dan rakyatnya kini dan pada masa akan datang'. 

Beliau berkata setakat ini tiada negeri lain di Malaysia mempunyai rancangan untuk melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam masing-masing. 

Bernama Online

No comments: