KANGAR, 1 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini meminta para penjawat awam di negeri ini menilai prestasi tugas mereka sepanjang tahun ini untuk dijadikan panduan dalam meneruskan tugas menjelang tahun baru 2015.
Beliau berkata jika berdasarkan penilaian mereka rasa tugas masih kurang memuaskan, mereka harus menanam tekad untuk meningkatkan lagi kualiti kerja. Jika merasakan sudah baik harus dipertingkatkan lagi sebaik sahaja memasuki tahun baru tidak lama lagi, katanya.
Beliau berucap pada perhimpunan bulanan untuk kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan bagi sesi terakhir 2014.
Perhimpunan dihoskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis di Dewan Warisan di sini. "Kita juga perlu membuat penilaian sejauh mana sumbangan kita kepada masyarakat dan negeri lebih-lebih lagi dalam memenuhi visi menjadikan Perlis Maju 2015," ujarnya.
Menteri Besar berkata, Perlis meletakkan 53 indikator untuk dibuat penilaian bagi mengisytiharkan Perlis Maju 2015. Setakat ini 43 indikator sudah diperolehi dengan keyakinan akan memperolehi 47 atau 48 indikator menjelang tahun baru.
Katanya, pengukuran negeri maju bukan dilihat kepada terbinanya bangunan tinggi dan rumah batu di sana sini. Tetapi banyak lagi penilaian lain diambil kira seperti kebersihan, keselamatan, ekonomi dan peningkatan pendapatan penduduk, kata beliau.
Sebelum itu, Pengarah Kastam Negeri, Datuk Mohd. Pudzi Man juga memberi jaminan JKDM Perlis turut membantu negeri ini dalam menjayakan Perlis Maju 2015 khusus dalam pungutan hasil di samping membantu menambah pendapatan negara. Katanya, sasaran JKDM Perlis tahun ini mengutip hasil RM142 juta dan hingga semalam sebanyak RM122.4 juta jumlah kutipan hasil sudah diperolehi.
Diharapkan tempoh sebulan lagi jabatan akan mampu memenuhi sasaran dengan kebanyakan hasil dipungut di pusat pemeriksaan kastam Padang Besar, kata beliau.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment