Thursday, February 19, 2015

KOLABORASI BERSAMA PEJABAT SUK PERAK DAN SUK PERLIS


INTAN Wilayah Utara (INTURA) telah bekerjasama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak bagi menjayakan Program Pembangunan Modal Insan Negeri Perak Siri 1/2015 pada 8 Februari 2015 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, INTURA.

            Majlis Perasmian Penutup Program Pembangunan Modal Insan Negeri Perak  telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Haji Saarani bin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
            INTURA juga telah bekerjasama dengan Pejabat  Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis untuk Kursus Pengukuhan Pasukan Pejabat SUK Perlis yang telah diadakan pada 9-12 Februari 2015. Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil bagi kursus ini telah disempurnakan oleh YB. Tuan Romli bin Dai, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
            Tujuan kedua-dua program ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan sesama penjawat awam Negeri dan Persekutuan, memperoleh input-input tentang keperluan kursus bagi setiap negeri dan memperkukuhkan kolaborasi antara INTAN dan Kerajaan Negeri di wilayah utara selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
 
    Tujuan utama kolaborasi ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan asas dalam pembangunan skil kepimpinan berkumpulan yang diperlukan oleh kedua-dua jabatan menerusi outdoor leadership training. Selain daripada itu, elemen jaringan hubungan antara jabatan juga turut diterapkan untuk melahirkan warga yang proaktif, produktif dan inovatif di mana setiap warga dibahagikan mengikut kumpulan secara rawak. Ini secara tidak langsung dapat melahirkan kumpulan yang berpaksikan One Team, One Mission & One Vision di sepanjang program.

YB Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan (SUK Perak), turut hadir.
 
Taklimat dari urusetia dari Pejabat SUK Perak.
 
Tetamu kehormat
 
Perkongsian ilmu.
 
Peserta dari Perak
 
Pembentukan kumpulan
 
Penyelesaian masalah
 
Trust Fall
 

 
Sesi kembara
 
Majlis penutup
 
Majlis penutup oleh YB. Tuan Romli bin Dai, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
 
Peserta dari Perlis
 


SAMPAI BILA NAK CURI TULANG?

Sampai bila nak curi tulang?

SIKAP segelintir kakitangan awam curi tulang waktu bekerja ibarat kudis lama yang masih tidak pulih dalam sektor perkhidmatan awam. 

Melihat kelibat mereka menghisap rokok selepas sarapan, walaupun jam menunjukkan 10.30 pagi di gerai-gerai bukanlah perkara asing. Malah ada yang sanggup ke luar kawasan, semata-mata mahu menikmati makanan kegemaran mereka tanpa menghiraukan waktu bekerja. 

Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga dalam pejabat, melakukan urusan peribadi, urusan ke bank, mengambil dan menghantar anak ke sekolah dan pelbagai lagi kegiatan yang sinonim dengan budaya kerja segelintir penjawat awam. 

Ini belum dikira dengan kedatangan lewat tetapi menuntut kerja lebih masa apabila pulang lambat. Baru-baru ini juga, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegur penjawat awam di Selangor yang culas dan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. 

Namun, kebanyakan mereka terus berasa selesa dengan pelbagai imbuhan tetapi mutu kerja yang diberi tidak setimpal. Disebabkan segelintir perangai jelik penjawat awam ini, masyarakat terus memandang serong terhadap sektor awam walaupun yang melakukan perkara itu bukanlah semua. 

Ikuti kupasan Sinar Harian dalam isu membabitkan segelintir kakitangan awam yang dilihat seolah-olah makan gaji buta dan tidak komited dalam menjalankan tanggungjawab hakiki mereka.
Sinar Harian Online

Tuesday, February 17, 2015

PENJAWAT AWAM CULAS KENA TERJAH

KERAJAAN Selangor serius mengekang budaya culas penjawat awam yang sering melepak pada waktu kerja tanpa perasaan bersalah. 

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, budaya curi tulang di kalangan penjawat awam ini bukanlah fenomena baharu. 

Walaupun pelbagai teguran dan amaran dikeluarkan, namun ia masih tidak meninggalkan kesan. “Kerajaan telah berikan waktu kerja anjal kepada mereka iaitu masa masuk, rehat, makan tengah hari namun penjawat masih keluar melepak di kafe dan berpelesiran di luar bangunan. 

“Budaya negatif ini perlu diubah segera, sekiranya terus dibiarkan negeri dan negara berdepan pembaziran tenaga kerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Jumaat lalu, Mohammed Khusrin bertindak menjalankan lawatan mengejut (spot check) di Kafe Dewan Jubli Perak dan gerai-gerai kecil di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan mendapati masih ramai penjawat awam bersarapan dan membeli-belah pada waktu kerja.

“Peringkat awal kita keluarkan notis amaran, kali kedua hantar nama kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut. “Unit Integriti SUK Selangor akan memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa dan tindakan tatatertib akan diambil. 

Diharapkan semua penjawat awam dapat mengubah budaya ini demi nama baik perkhidmatan awam,” katanya. Mohammed Khusrin menegaskan terjahan ini bukan hanya dijalankan di Bangunan SUK malah unit integriti ini juga bergerak ke daerah seluruh negeri. 

“Terjahan mengekang budaya mengular di kalangan penjawat awam ini bukan main-main. “Kerajaan negeri serius mengubah budaya kerja tidak sihat seumpama ini di Selangor,” katanya. 


Tambah beliau, tindakannya memuat naik gambar lawatan mengejut berkenaan di laman sosial Facebook bukan bertujuan menjatuhkan maruah penjawat awam, sebaliknya sebagai kesedaran agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu serta teladan untuk kakitangan lain.

Sinar Harian Online

TIDAK TERASA TERANCAM PUNCA BUAT KERJA SAMBIL LEWA


PENGANALISIS ekonomi berpendapat punca utama kakitangan awam culas ialah sistem kerja yang tidak mendesak untuk bersaing sehingga membuatkan mereka selesa dan tidak mementingkan prestasi.   

Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, meskipun penjawat awam diberikan imbuhan dan bonus yang besar namun masih tidak menjamin kualiti kerja yang diberikan kepada orang ramai. “Sewajarnya bayaran bonus diberikan berdasarkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditampilkan setiap penjawat awam. “Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu kaji semula kaedah mengukur kualiti pekerja. 

Malah jabatan itu juga wajar lebih telus dan fokus kepada kualiti kerja yang boleh diukur,” katanya. 

Menurut beliau, penjawat awam yang tidak mencapai KPI yang disasarkan hanya layak menerima gaji bulanan seperti biasa tanpa bonus. “Setiap pekerja perlu ada KPI untuk menentukan pemberian bonus dan kenaikan pangkat kena ada KPI yang jelas. 

“Sekiranya gagal menampilkan kualiti dan prestasi kerja penjawat awam tidak menerima imbuhan, dengan garis panduan baru ini penjawat awam lebih peka,” katanya. 

Abdul Rahim berkata, negara kita berdepan masalah keculasan penjawat awam ini kerana saiz jumlah perjawatan yang ramai. “Situasi ini misalnya dalam satu jabatan memerlukan 10 orang kakitangan tetapi terpaksa lantik 20 orang kerana terdapat pekerja yang curi tulang. 

“Perkara tidak sihat ini telah menyebabkan negara mengalami kerugian dalam bajet perbelanjaan operasi,” katanya. 

Beliau berkata, negara berdepan kerugian kerana perlu lantik ramai kakitangan namun pada hakikatnya bilangan pekerja yang besar itu bertindih buat benda sama sebab dalam jumlah tersebut terdapat yang curi tulang. 

“Sebelum ini pembayaran bonus kepada semua penjawat awam semua membuatkan mereka berasa selesa walaupun tidak menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan. “Pemberian bonus pada masa depan tidak boleh bayar satu bulan untuk semua. Berlaku pembaziran kerana penjawat awam yang cekap dan juga tidak cekap menerima insentif yang sama,” katanya.

Sinar Harian Online

Thursday, February 12, 2015

Demokrasi Berparlimen

parlimen-2
Parlimen Malaysia melambangkan keutuhan  demokrasi berparlimen
Sistem Demokrasi Berparlimen
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.
Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.
Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.
mizan3
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menandatangani Surat Sumpah Jawatan dan Ikrar Taat Setia pada Istiadat Mengangkat Sumpah mememang jawatan YDA X111 pada 13 Disember 2006
(Sumber: Perpustakaan Foto Jabatan Penerangan Malaysia)
Yang di-Pertuan Agong
Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen.
Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang kemudiannya.
Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu. Walau bagaimanapun , Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan itu dari masa ke semasa.
Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu. Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat pertamanya selepas Pilihanraya Umum.
Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan Rakyat hendaklah diadakan, dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya
Struktur Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:-
1. Yang Di-Pertuan Agong 
2. Dewan Negara 
3. Dewan Rakyat
Sumber: Parlimen Malaysia

Tuesday, February 10, 2015

PENJAWAT AWAM TERBABIT BANJIR BOLEH MOHON TANGGUH BAYAR PINJAMAN BANK RAKYAT


PETALING JAYA, 10 Feb (Bernama) -- Penjawat awam yang terbabit banjir dan mempunyai pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat boleh memohon menangguh bayaran balik pinjaman itu sehingga ke tempoh tertentu. 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata mereka juga boleh memohon untuk penstrukturan semula kadar bayaran pinjaman itu. 

"Mereka boleh membuat penangguhan pembayaran balik pinjaman dan membuat penstrukturan semula bayaran buat masa ini bagi meringankan beban mereka akibat banjir," katanya pada sidang media selepas majlis Sumbangan Kemanusiaan Mangsa Banjir oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Kongress Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, Selasa. 

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nik Ali Mat Yunus, Pengerusi Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda. Alias berkata penjawat awam yang membayar pinjaman melalui pemotongan gaji menerusi biro Angkasa, juga boleh membuat permohonan bagi penangguhan bayaran balik itu. 

"Mereka (penjawat awam mangsa banjir) boleh berunding dengan pihak Angkasa untuk membuat penstrukturan bayaran balik dan Angkasa akan mempertimbang memansuhkan caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas potongan gaji itu," katanya. 

Sementara itu, Azih berkata pihaknya juga mencadangkan kerajaan untuk membenarkan penjawat awam terbabit banjir membuat pengeluaran awal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menanggung kos kerosakan harta benda mereka. "Ada penjawat awam yang rumah mereka rosak hampir 100 peratus, dengan pengeluaran awal itu ia sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan situasi mereka yang mana boleh dikatakan sangat kritikal pada masa ini,"katanya. 

Sementara itu, Abdul Fattah berkata misi bantuan kemanusiaan bencana banjir itu bagi membantu 1,200 keluarga penjawat awam yang terbabit banjir di negeri-negeri pantai timur. "Ini merupakan kali pertama kami mengadakan kerjasama dengan Cuepacs dan misi ini merupakan yang ke-10 dianjurkan kami bagi membantu meringankan beban mangsa banjir. 

"Pihak kami memperuntukkan RM2.3 juta bagi membantu mereka dari segi keperluan asas dan barangan dapur seperti dapur gas, selimut, makanan, telekung, kain batik dan lain-lain barangan keperluan harian," katanya. Abdul Fattah berkata selain itu, Pasukan Sukarelawan Koperasi (Paskop) yang terdiri daripada kakitangan di cawangan Angkasa seluruh negara turut terlibat dalam kerja-kerja pembersihan. "Mereka juga akan diminta ke negeri-negeri lain adilanda banjir untuk menghantar bantuan dan bekalan pasca banjir," katanya. 

Bernama Online

Sunday, February 8, 2015

Berita@INTURA Januari 2015

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar