KERAJAAN Selangor serius mengekang budaya culas penjawat awam yang sering melepak pada waktu kerja tanpa perasaan bersalah.
Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, budaya curi tulang di kalangan penjawat awam ini bukanlah fenomena baharu.
Walaupun pelbagai teguran dan amaran dikeluarkan, namun ia masih tidak meninggalkan kesan. “Kerajaan telah berikan waktu kerja anjal kepada mereka iaitu masa masuk, rehat, makan tengah hari namun penjawat masih keluar melepak di kafe dan berpelesiran di luar bangunan.
“Budaya negatif ini perlu diubah segera, sekiranya terus dibiarkan negeri dan negara berdepan pembaziran tenaga kerja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Jumaat lalu, Mohammed Khusrin bertindak menjalankan lawatan mengejut (spot check) di Kafe Dewan Jubli Perak dan gerai-gerai kecil di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan mendapati masih ramai penjawat awam bersarapan dan membeli-belah pada waktu kerja.
“Peringkat awal kita keluarkan notis amaran, kali kedua hantar nama kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut. “Unit Integriti SUK Selangor akan memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa dan tindakan tatatertib akan diambil.
Diharapkan semua penjawat awam dapat mengubah budaya ini demi nama baik perkhidmatan awam,” katanya. Mohammed Khusrin menegaskan terjahan ini bukan hanya dijalankan di Bangunan SUK malah unit integriti ini juga bergerak ke daerah seluruh negeri.
“Terjahan mengekang budaya mengular di kalangan penjawat awam ini bukan main-main. “Kerajaan negeri serius mengubah budaya kerja tidak sihat seumpama ini di Selangor,” katanya.
Tambah beliau, tindakannya memuat naik gambar lawatan mengejut berkenaan di laman sosial Facebook bukan bertujuan menjatuhkan maruah penjawat awam, sebaliknya sebagai kesedaran agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu serta teladan untuk kakitangan lain.
No comments:
Post a Comment