Program
JPA4U@INTURA: Sekolah Angkat merupakan projek rintis yang julung-julung kali
diadakan di INTURA. Program ini
memfokuskan kepada 50 orang pelajar tingkatan 4 yang terpilih dari Sekolah
Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala
Muda.
Antara objektif program ini adalah untuk membina potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu, generasi yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memperkasakan keupayaan, bakat kepimpinan dan
melonjakkan kecemerlangan akademik dan meningkatkan sahsiah dan jatidiri. Pelbagai
aktiviti telah dirancang sepanjang tahun ini bermula Mac hingga November 2015.
Program
pertama yang dijalankan ialah Kem Mentor@Guru Pembimbing Dinamik yang telah
diadakan pada 17 - 18 April 2015 bertempat di Dewan Jubli Perak, INTURA.
Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada mentor, kaunselor, guru
cemerlang, dan YDP PIBG telah menyertai program ini. Peserta didedahkan dengan
gerak kerja berkumpulan dan penerangan aktiviti keseluruhan program.
Program JPA4U@INTURA: Sekolah Angkat ini dilaksanakan
bagi merealisasikan impian Merakyatkan Perkhidmatan Awam melalui konsep
perkongsian pintar. Kepakaran dan
keupayaan INTAN dari segi tenaga pelatih yang mempunyai kemahiran dalam
pelbagai bidang dan aset diharap dapat dioptimumkan. Dengan kerjasama strategik
ini juga diharap dapat memberikan pulangan terbaik kepada sekolah yang
terlibat.