Monday, November 24, 2008

Upin & Ipin




Cerita animasi yang menjadi fenomena di Malaysia. Selain dari kanak-kanak, siri ini juga menarik perhatian golongan dewasa untuk menontonnya. Cara pengolahan skrip yang bersahaja dan imej persekitaran tradisional menggamit memori mereka yang pernah melalui zaman kanak-kanak.

Apa yang menarik, penonton masih boleh lagi melihat 'almari lauk' yang pernah popular dalam tahun 70'an dalam siri ini. Rasanya golongan remaja sekarang hanya mengenal 'peti sejuk' untuk simpanan lauk atau meng'tong sampahkan' makanan yang tidak habis dimakan, berbanding masyarakat dahulu yang menyimpan baki makanan yang tidak habis untuk dipanaskan keesokan hari.

Terdapat juga peralatan lain seperti tikar mengkuang, tudung saji dan pelbagai lagi amalan tradisional yang menjadi amalan pada satu masa dahulu dipaparkan dalam siri ini. Rasanya plot cerita ini dibuat begitu teliti termasuklah latar belakang, memek muka yang pelbagai dan kesan pergerakan badan antara kanak-kanak dan orang tua.

Apapun, syabas kepada team produksi yang bertungkus lumus memerah idea dan keringat untuk memastikan cerita ini dapat ditonton oleh masyarakat Malaysia. Kami seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan hasil yang telah ditunjukkan oleh kalian dan berharap agar Upin & Ipin akan menjadi satu jenama yang setanding dengan watak-watak animasi Walt Disney, Pixar dan sebagainya.

Semoga Upin & Ipin merintis jalan untuk penggiat-penggiat seni menyemarakkan industri animasi di Malaysia.

No comments: