KUALA TERENGGANU, 30 Sept (Bernama) -- Seramai 119 bekas buruh Jabatan Pelajaran Terengganu yang ditamatkan kontrak sekali lagi merayu Kementerian Pelajaran supaya campur tangan dalam soal pemberhentian kontrak mereka sejajar dengan slogan kerajaan "Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan".Wakil kumpulan itu Zali Chik, 50, berkata sejak ditamatkan kontrak pada Julai lepas, kesemua 119 orang buruh yang terlibat terpaksa menggangur dan melakukan apa sahaja kerja bagi menanggung keluarga."Contohnya saya, saya sekarang ini terpaksa mengambil upah memotong getah di kampung walaupun pendapatannya tidak seberapa bagi menanggung lima orang anak yang sedang belajar," katanya.Zali, yang mempunyai lima anak, termasuk dua orang yang sedang menuntut di universiti, berkata telah banyak rayuan dibuat terutamanya kepada Kerajaan Pusat, namun tiada tanda-tanda positif."Semasa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Hulu Terengganu bulan puasa lepas, saya telah serahkan memorandam kepada beliau, tetapi sehingga kini belum ada jawapan," katanya.Zaki, bekas pekerja am rendah di Sekolah Kebangsaan Tapu, Hulu Terengganu, berharap kerajaan akan mengambil semula 119 buruh ditamatkan kontrak itu bekerja kerana sesetengah daripada mereka berhutang dengan bank."Sekarang ini, tiada tempat lagi kami hendak mengadu, tambahan pula anak-anak makin membesar yang perlu ditanggung," katanya.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment