Tuesday, September 1, 2009
Memerdekakan Etika Perkhidmatan Awam
Oleh Abd Razak HussinMutu modal insan mampu bentuk masyarakat negara majuSEMALAM kita baru saja meraikan Hari Kemerdekaan Ke-52, ketika kemuliaan Ramadan. Daripada tazkirah, berbuka puasa, solat, berdoa, bersajak, nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi yang sungguh bersemangat sehingga sama-sama mengira detik 31 Ogos, pemimpin dan rakyat jelata mengibar bendera kecil. Persoalannya, selepas ini, apa?Persoalannya, selepas 52 tahun kemerdekaan kita, semakin utuhkah pegangan kita terhadap nilai dan etika yang diterima pakai sebagai satu cabaran dalam penjelmaan Malaysia yang maju pada 2020 nanti? Penulis sering berkesempatan berkongsi pandangan dengan kakitangan atau pegawai muda di universiti mengenai nilai dan etika dalam perkhidmatan awam. Biasanya perkongsian itu berlaku dalam kursus induksi, orientasi pegawai baru atau persediaan menduduki peperiksaan tahap kecekapan.Secara umumnya, nilai dan etika difahami sebagai kepercayaan dan keyakinan seseorang terhadap seseorang, sesuatu atau institusi bagi mematuhi peraturan, pilihan dan pegangan masyarakat. Kepercayaan dan keyakinan ini menjadi panduan, ikatan, pedoman, tindakan, amalan dan pertimbangan yang berteraskan sesuatu rujukan.Tentunya dalam konteks masyarakat kita, teras nilai dan etika itu berasaskan agama dan budaya kita sendiri yang tidak bercanggah dengan pegangan dan keyakinan umum. Mengapakah persoalan ini masih perlu dibicarakan, sedangkan kita semua orang Timur, yang memiliki agama, ada budaya dan pegangan yang kuat.Kita dikenali sebagai masyarakat yang bersantun, berbudi bahasa dan berkeperibadian halus. Ada yang menjawab, kerana pelanggaran terhadap nilai dan etika yang berlaku, sebagai langkah mengingatkan semula dan sebagai usaha memperkukuhkan keyakinan.Bagi penulis, semuanya benar. Lebih daripada itu, inisiatif ini juga adalah suatu pendidikan yang berterusan. Manusia kerap kali terlupa dan terlalai. Seperti ungkapan yang sering kita dengar, 'manusia mudah lupa.'Semua usaha ini adalah untuk memastikan serta meninggikan tahap integriti dan akauntabiliti kakitangan awam dan seterusnya memberikan keyakinan masyarakat terhadap sektor itu sendiri.Bukan tidak pernah kita mendengar, termasuk menerusi media massa, kakitangan sektor awam yang dibicarakan di mahkamah kerana pertuduhan rasuah, memplagiat karya orang lain, membuat tuntutan palsu, menjual maklumat sebut harga atau tender, menyalahgunakan kedudukan dan kemudahan pejabat untuk kepentingan peribadi, merakam waktu masuk dan keluar pejabat untuk orang lain, memfitnah dan mengumpat rakan sekerja untuk menghalang kenaikan pangkat, memburukkan pemimpin dan pekerja sendiri dan menjalin hubungan intim yang berlebihan dengan staf di bawah seliaan.Kita juga mendengar, ada kakitangan yang sengaja melewatkan kerja dalam waktu pejabat supaya mereka boleh melakukan kerja di luar waktu dan boleh membuat tuntutan kerja lebih masa. Ada kakitangan yang sengaja menjadikan kerja lebih masa sebagai satu sumber pendapatan tetap selain gaji bulanan.Ini sekadar beberapa contoh yang dianggap pelanggaran nilai dan etika dalam sektor awam. Ada juga kita dapati orang menghantar e-mel 'layang' menggunakan alamat e-mel yang tidak dikenali dan tidak menjawab salam atau sapaan orang yang dianggap lebih rendah daripada kita sedangkan kita tahu salam itu suatu doa.Kita juga perhatikan, ada hadirin atau pelajar dalam majlis syarahan atau kuliah yang berbual sesama sendiri ketika syarahan dan kuliah berlangsung, ahli mesyuarat yang tidak memberi perhatian sebaliknya asyik berSMS, ahli mesyuarat yang tidak bersetuju dengan keputusan mesyuarat, tetapi ketika perbincangan tidak pula menyuarakan rasa tidak puas hati, sebaliknya membuat 'bising' di luar mesyuarat.Yang lebih buruk ialah menyampaikan keputusan mesyuarat kepada pihak yang tidak berkenaan sebelum minit disahkan dan dibenarkan untuk pendedahan awam. Barangkali kita menganggap perkara ini kecil dan enteng saja tetapi sebenarnya mempunyai kesan yang amat besar meskipun pelakunya hanyalah segelintir.Pelanggaran terhadap nilai dan etika itu menyebabkan tidak berlaku keadilan kepada pihak yang berhak, masyarakat berasa tertipu, duit rakyat dan negara yang disumbang menerusi cukai tidak digunakan sewajarnya, manfaat kepada rakyat terbanyak terjejas, ketirisan perbendaharaan negara, gaji kepada kakitangan awam tidak sepadan khidmat yang dijangkakan, hubungan interpersonal yang tidak harmoni, suasana tempat kerja yang penuh prasangka, tandus kepemimpinan yang boleh diteladani, imej organisasi yang merudum dan akhirnya reputasi kerajaan yang memerintah dipersoalkan rakyat jelata dan masyarakat dunia.Persoalan besar yang sering penulis ketengahkan apabila membicarakan nilai dan etika ialah soal penghormatan. Penghormatan pula harus bermula daripada dalam diri setiap orang secara menyeluruh.Tanggungjawab yang jelas, justifikasi mengapa tanggungjawab harus dilaksanakan dan kepada siapa pertanggungjawaban akhir, kitalah yang akan menentukan tahap keikhlasan kita. Iltizam yang kuat dan kepemimpinan yang boleh diteladani akan memastikan nilai serta etika dalam organisasi mampu diterjemahkan secara nyata dan menyeluruh.Penulis masih berkeyakinan, sekiranya asas-asas ini teguh dan utuh, cabaran untuk melihat pembentukan sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etikanya, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang teguh dan ditunjangi budi pekerti luhur pada 1 Januari 2020, akan mampu dicapai di negara ini.Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment