Monday, May 10, 2010

300 belia Cina ikuti taklimat kerjaya

KUALA LUMPUR 9 Mei - Seramai 300 belia berketurunan Cina dari seluruh negara hari ini mengambil peluang mengikuti taklimat untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai Unit Komunikasi Korporat SPRM, Zainal Adam berkata, sambutan menggalakkan itu berikutan langkah SPRM menawarkan 40 jawatan kosong untuk pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat kepada pemohon yang mahir dalam Bahasa Mandarin secara kontrak selama dua tahun, baru-baru ini.

Menurut beliau, program kerjaya itu turut disokong oleh Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia Huazong.

"Taklimat kerjaya ini merupakan susulan daripada pertemuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed dengan Persatuan Cina Malaysia Huazong.

"Berikutan pertemuan itu, sesi taklimat ini bakal memberi kemudahan kepada pemohon menyemak kelayakan mereka sebelum mengisi borang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk lantikan.

"Pengambilan pegawai penyiasat yang mahir dalam Bahasa Mandarin itu merupakan salah satu usaha SPRM untuk memudahkan urusan siasatan dijalankan," katanya dalam satu sesi taklimat di Dewan Serbaguna Tan Sri Dr. Jeffry Cheah di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi itu, Timbalan Setiausaha Kehormat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina Huazong, Prof. Dr. Chin Yew Sin.

Tambah Zainal, taklimat kerjaya itu merupakan langkah pertama SPRM untuk menarik penyertaan lebih ramai kakitangan bukan Melayu menyertai suruhanjaya itu.

Namun, katanya, SPRM tidak menyangka pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Cina.

Beliau pada masa yang sama turut mengingatkan para pemohon agar memahami objektif utama suruhanjaya itu sebelum mendaftar borang permohonan.

Katanya, ia dianggap perlu bagi memudahkan kedua-dua pihak sekiranya pemohon dipilih untuk berkhidmat bersama SPRM.

"Pemahaman objektif dan menentukan minat adalah perkara pertama yang perlu dikenal pasti oleh pemohon," katanya.

Sementara itu, Yew Sin ketika ditemui melahirkan rasa terkejut apabila lebih 300 masyarakat Cina mengambil peluang untuk menghadiri taklimat kerjaya itu.

Menurutnya, taklimat kerjaya itu merupakan satu titik permulaaan namun ia mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Kita juga bersedia membantu agensi lain seperti tentera dan polis dalam taklimat kerjaya sebegini selain memberi peluang kepada masyarakat Cina untuk berkhidmat dalam kerajaan," katanya.


Utusan Malaysia Online

No comments: