Monday, May 3, 2010

Syarat bersara pilihan bukan tetap

KUALA LUMPUR: Syarat permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan yang diperketatkan dan diperkenalkan 1 Februari lalu, akan ditarik balik apabila kedudukan ekonomi dan kewangan semasa negara pulih. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata meskipun syarat permohonan bersara pilihan diperketatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun mereka yang benar-benar memenuhi syarat seperti memerlukan wang untuk kesihatan, pendidikan atau mengelak daripada bankrap, boleh mendapatkan bayaran ganjaran sekali gus ketika bersara pilihan. “Syarat yang diperkenalkan itu adalah langkah sementara saja.

“Ia akan ditarik balik apabila ekonomi negara bertambah baik,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam itu berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Katanya, antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan, berbanding bayaran sekali gus seperti yang dibuat sebelum ini.
Baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit. Bagaimanapun, wang gantian cuti rehat dan pencen bulanan dibayar mengikut undang-undang.

Kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan.

Ekoran itu, Cuepacs telah mengadakan perbincangan dengan JPA bagi membincangkan semula syarat baru bersara pilihan yang disifatkannya tidak adil kepada kakitangan awam.

Presidennya, Omar Osman ketika dihubungi berkata, pada pertemuan antara Cuepacs dan JPA baru-baru ini, JPA memberi jaminan bahawa pelaksanaan syarat baru itu adalah bagi jangka pendek saja.

“Cuepacs sangat berharap pelaksanaan syarat baru itu hanya sehingga hujung tahun ini saja dan dapat ditarik balik awal Januari tahun depan,” katanya.

Pada pertemuan itu juga, katanya, Cuepacs mahu supaya faedah pinjaman perumahan kakitangan awam sebanyak empat peratus sekarang ini diturunkan kepada satu peratus.

Katanya, ia kerana kadar faedah pinjaman perumahan empat peratus sekarang yang dilaksanakan sejak kira-kira 30 tahun lalu hanya sesuai ketika harga rumah jauh lebih rendah daripada sekarang ini.

“Harga rumah sekarang adalah jauh lebih mahal.

“Bagi kakitangan awam berpendapatan sederhana dan rendah, bayaran balik bulanan pada kadar empat peratus itu adalah tinggi,” katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: