Friday, May 7, 2010

Pelajari amalan pengurusan awam terkini

KUCHING 6 Mei - Kakitangan awam di negeri ini perlu mempelajari secara berterusan amalan dan cabaran pengurusan awam terkini bagi mewujudkan budaya inovasi dan kreativiti yang sentiasa kekal relevan pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pada masa sama penjawat awam juga perlu memberi keutamaan kepada aspek inovasi, kreativiti, kepantasan dan integriti bagi memastikan perubahan minda dan anjakan paradigma baru dapat diperkenalkan dalam jentera kerajaan.

Menurutnya, kelangsungan proses transformasi kerajaan menerusi kaedah baru yang radikal perlu diterima kakitangan awam sebagai satu cabaran besar dalam melonjakkan mutu perkhidmatan setanding dengan peringkat global.

''Dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan ini, penjawat awam harus bersama-sama dengan kerajaan merangka strategi serta melaksanakan amalan-amalan perkhidmatan awam bertaraf dunia ke arah penyampaian perkhidmatan yang berprestasi tinggi.

''Ini kerana proses transformasi yang kita laksanakan adalah penting dalam usaha kita menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian majlis penyampaian Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak (AKKMS) 2009 dan Persidangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta menteri Kabinet negeri.

Abdul Taib memberitahu, kakitangan awam juga perlu peka dengan aspirasi dan kemahuan rakyat yang semakin hari semakin berubah dengan menerapkan amalan tadbir yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri.

Menurutnya, ini kerana penetapan aras amalan-amalan bertaraf antarabangsa adalah satu inisiatif yang boleh mempercepatkan kemajuan dan pencapaian kejayaan sesuatu organisasi selaras dengan kehendak rakyat.

''Proses transformasi yang dilaksanakan kerajaan itu juga akan mengambil kira pembangunan dan penambahbaikan secara berterusan ke atas sistem, proses dan prosedur kerja agar ia sentiasa relevan dalam dunia yang kian mencabar," katanya.

Abdul Taib turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri dalam pengurusan sistem pentadbiran, sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa hasil transformasi yang telah dilakukan.

Utusan Malaysia Online

No comments: