Wednesday, June 23, 2010

Kesedaran rasuah rendah

Sejak pelancarannya pada 26 April 2010 sehinggalah rencana ini ditulis, seramai 144 orang telah ditangkap di seluruh negara atas kesalahan menyogok pegawai awam. Tempoh dua bulan ini memperlihatkan purata tangkapan ke atas pemberi rasuah dianggarkan dua orang setiap hari.

Statistik ini menunjukkan bahawa masyarakat masih lagi belum sedar bahawa perbuatan memberi atau menawarkan suapan rasuah merupakan satu perbuatan jenayah yang serius. Sekiranya didapati bersalah hukuman berat termasuk penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan menanti pelakunya.

Media massa banyak membantu menyebarluaskan maklumat atau mesej berhubung Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini. Masyarakat didedahkan mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi sekiranya terjebak dengan perlakuan ini. Berita-berita berhubung tangkapan, pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas pemberi rasuah hampir setiap hari dipaparkan di kaca televisyen mahupun di dada akhbar-akhbar utama.

Namun, pertambahan jumlah perangkaan yang semakin bertambah ini memperlihatkan isu berkaitan kesalahan memberi rasuah ini masih dianggap remeh oleh segolongan besar masyarakat.

Berdasarkan jumlah tangkapan keseluruhannya iaitu sebanyak 144 kes, hampir 40 peratus atau 57 tangkapan melibatkan individu yang melakukan kesalahan jalan raya. Kenapa harus kita memperjudikan nasib dengan memberi sogokan rasuah atas kesalahan yang boleh di kompaun. Akibatnya, bagi mengelakkan saman trafik yang bernilai RM300 kita terpaksa berhadapan pula dengan suatu kesalahan yang lebih serius iaitu berhadapan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi.

Masyarakat harus mengubah persepsi negatif mereka terhadap penjawat awam khususnya anggota penguat kuasa. Zaman telah berubah, begitu juga semangat dan iltizam penjawat awam. Maruah perkhidmatan awam bukan untuk digadai atau dijual. Wang ringgit bukan galang gantinya. Kewujudan anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya keseluruhannya.

Segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri dengan melanggar peraturan yang ditetapkan wajar dihukum sebagai tanda pengajaran untuk menjadi lebih disiplin. Sikap cuai, gopoh, memandu secara melulu dan tidak sabar membuatkan individu menjadi pembunuh di atas jalan raya.

Atas sebab-sebab inilah, maka kemalangan maut sering berlaku sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa. Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kajian yang dijalankan oleh pihak berwajib menunjukkan kemalangan yang berlaku hampir 75 peratus disebabkan faktor kecuaian manusia.

Selain kesalahan jalan raya, satu lagi kesalahan yang menjadi punca kepada perlakuan rasuah ialah kesalahan yang melibatkan pendatang tanpa izin. Penjawat awam sekali lagi cuba disogok untuk melindungi pendatang tanpa izin yang bukan sahaja memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah malahan terbabit dengan lain-lain kegiatan jenayah termasuk merompak, melacur, menyamun, dadah dan sebagainya.

Seramai 38 orang pendatang tanpa izin yang ditangkap kerana menyogok anggota penguat kuasa. Sudahlah memasuki negara ini tanpa sah, cuba pula membeli penguat kuasa bagi menutup kesalahan mereka. Jangan sesekali samakan anggota penguat kuasa kita seperti di negara mereka.

Sekali lagi masyarakat harus sedar, kesan dan akibat sekiranya PATI dibiarkan berleluasa menjalankan kegiatan mereka di negara ini. Kita bukan tidak biasa mendengar tumpasnya kegiatan samun, pembunuhan, penculikan, rompakan, pengedaran dadah, kegiatan samseng dan pelacuran yang melibatkan warga negara asing.

Hampir setiap hari dilaporkan dalam akhbar-akhbar berhubung jenayah berat yang dilakukan warga asing di negara tercinta ini. Adakah kita sebagai warganegara Malaysia mahukan kedamaian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini diragut begitu sahaja dek kegiatan jenayah warga asing?

Sungguh memalukan jika diteliti dari segi jumlah wang rasuah yang cuba disogok kepada penjawat awam. Dari nilai RM3 hinggalah puluhan ribu ditawarkan untuk melindungi kegiatan mereka. Apakah nilai maruah dan harga diri seorang anggota keselamatan sekadar RM3 sahaja?

Terdapat juga kata-kata nakal di kalangan kita yang mengatakan RM3 tangkap kalau RM30,000 lepas. Ingin ditegaskan bahawa penjawat awam pada hari ini sebenarnya telah banyak berubah baik dari segi sikap, nilai integriti mahupun budaya kerjanya.

Buktinya, seramai 10 orang anggota penguat kuasa yang ditawarkan rasuah bernilai melebihi RM10,000.00 menolak sogokan tersebut dan menangkap si pemberi rasuah. Secara keseluruhannya, jumlah suapan yang terlibat sepanjang dua bulan ini melibatkan sebanyak hampir RM350,000.

Wang ringgit bukan lagi menjadi keutamaan yang dikejar. Sebaliknya, amanah dan perjuangan menegakkan undang-undang menjadi perjuangan. Jenayah dan permasalahan sosial yang berlaku di sekeliling membuatkan penjawat awam semakin muak dengan ragam dan tingkah laku penjenayah yang semakin tidak menghormati kedaulatan undang-undang negara ini.

Kesannya, rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Keharmonian dan kesejahteraan hidup yang dikecapi semakin digugat. Ia bukanlah kata-kata retorik, sebaliknya suatu kenyataan atau realiti yang harus diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini akan diteruskan sehinggalah keseluruhan masyarakat sedar bahawa perbuatan memberi dan menawarkan suapan rasuah adalah kesalahan yang serius.

Berdasarkan kepada statistik tangkapan ke atas pemberi rasuah, Polis Diraja Malaysia harus diberikan pujian kerana telah berjaya menangkap lebih dari 50 orang pemberi rasuah, diikuti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi-operasi khasnya sebanyak 10 tangkapan, RELA 9 tangkapan, JPJ 8 tangkapan, Imigresen 5 tangkapan, Perhutanan 2 tangkapan, Tenaga Nasional 1 tangkapan dan PTG 1 tangkapan.

Tumpuan di fasa kedua adalah serbuan mengejut secara bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa di seluruh negara ke atas sarang-sarang pelacuran, pengedaran dadah, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, kilang-kilang haram, pembalakan haram, kecurian pasir dan premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan jenayah.

Strategi pendekatan serampang dua mata ini sekiranya dijalankan secara telus bukan sahaja akan memberi pengajaran ke atas pelaku-pelaku rasuah malahan turut menghapuskan pelbagai kegiatan jenayah lain.

Datuk Ahmad Khusairi Datuk Yahaya
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Utusan Malaysia Online

No comments: