Friday, May 29, 2015

JPA AKAN JUMPA PENJAWAT AWAM DI BAWAH PRESTASI SEBENAR - AHMAD JAILANI

KOTA KINABALU, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dijangka mengadakan pertemuan dengan penjawat awam yang dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah diperkenal tahun lalu. 

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata pertemuan itu antara lain bertujuan mengenal pasti lebih lanjut sebab dan alasan prestasi penjawat awam terbabit tidak memberangsangkan. 

Beliau berkata pertemuan itu akan diadakan setelah JPA selesai mengumpul maklumat dan mengenal pasti sama ada penjawat awam terbabit berkhidmat di peringkat persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun. "Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal akan berjumpa dengan mereka (penjawat awam terbabit) untuk melihat (mengetahui sebab) pencapaian dan prestasi mereka rendah," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Perdana Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) Sabah, hari ini. 

Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kira-kira 5,000 daripada 1.6 juta penjawat awam dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah diperkenal. 

Kesemua penjawat awam itu didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas selama 200 hari setahun dan mempunyai komitmen luar tugas. Ahmad Jailani berkata menerusi pertemuan itu, ia akan memudahkan pihak JPA mengetahui langkah yang perlu diambil bagi memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi penjawat awam terbabit. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jailani mengingatkan penjawat awam supaya memperkasa dan memelihara integriti ketika bertugas dan tidak sewenang-wenang menggunakan media sosial menyalurkan maklumat sehingga mencemarkan imej jabatan. 

Sebaliknya, penjawat awam yang beretika dan bertanggungjawab harus menggunakan media sosial sebagai saluran memberi penerangan berhubung dasar kerajaan secara pantas, katanya. "Terdapat pekeliling mengenai penggunaan media sosial ini supaya (penjawat awam) tidak menggunakan (media sosial) sehingga menjatuhkan imej jabatan, jika ada (berbuat demikian), tindakan tatatertib akan diambil," katanya. 

Mengenai Bicara Perdana Intan, Ahmad Jailani berkata program itu bagi memperjelas usaha transformasi dan inisiatif kerajaan dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam, sekali gus menggalakkan penjawat awam melakukan transformasi menjurus kepada kos rendah tetapi berimpak tinggi. Bertajuk Transformasi Perkhidmatan Awam: Kepimpinan Kreatif dan Inovatif, program bicara perdana itu disertai lebih 300 penjawat awam pelbagai jabatan di negeri ini dan Labuan.

Bernama Online

Sunday, May 24, 2015

AMARAN KSN: 5,000 STAF AWAM ' MAKAN GAJI BUTA ' DISINGKIR

KUALA LUMPUR 23 Mei – Kira-kira 5,000 kakitangan awam berjawatan tetap yang ‘makan gaji buta’ kini berada dalam radar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ditamatkan perkhidmatan jika tidak berubah selepas diberi tempoh enam bulan Kumpulan itu dikenal pasti terpalit dengan pelbagai masalah disiplin antaranya ponteng kerja selama 200 hari dalam setahun, datang lewat ke pejabat, terlibat dengan perniagaan serta hilang fokus sehingga penilaian prestasi mereka berada di bawah 60 peratus. 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa ketika mengesahkan perkara itu berkata, tindakan tegas tersebut perlu diambil selari dengan pelan transformasi perkhidmatan awam kerana tidak adil untuk jabatan terus mengekalkan mereka yang hanya ‘makan gaji buta’. 

Bagaimanapun katanya, sebelum ditamatkan perkhidmatan, kumpulan kakitangan awam yang bermasalah tersebut akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi kerja masing-masing dalam tempoh enam bulan terlebih dahulu sebelum penyingkiran dibuat jika masih tidak berubah. “Kita bukan hina penjawat awam, ini untuk kebaikan penjawat awam tersebut dan juga jabatan. Mereka tak fokus, terlibat dengan perniagaan, ponteng kerja dan macam-macam lagi. Orang macam ini saya rasa kita tidak perlu pertahankan untuk kita bayar gaji buta. 

“Jumlah 5,000 bukan angka mengejutkan kerana keseluruhan penjawat awam 1.61 juta tetapi kita akan panggil mereka untuk diberi latihan. Tapi kalau mereka masih tak mahu tolong diri sendiri kita tak dapat berbuat apa,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Hari Terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas dasar pemisah personal berprestasi rendah bagi penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam usaha mentransformasi perkhidmatan awam. 

Kepada soalan apa reaksi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung langkah tersebut, beliau berkata, sesi perbincangan mengenai perkara itu sudah dilakukan sebelum ini dan kesatuan tersebut melahirkan persetujuan. 

Beliau dalam nada yang tegas juga menjelaskan, tindakan yang akan diambil ke atas kakitangan awam bermasalah itu bukan bertujuan mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam kerana pengambilan baharu tidak akan dibekukan bagi menggantikan mereka yang bersara. “Kita memberi jaminan tiada langkah mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam kerana pengambilan baharu akan tetap dibuat bagi menggantikan kakitangan yang bersara berjumlah 25,000 setahun, cuma perjawatan baharu sahaja yang dibekukan,” katanya

Utusan Malaysia Online

5,000 PENJAWAT AWAM DI BAWAH PRESTASI SEBENAR - ALI HAMSA


KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kira- kira 5,000 daripada 1.6 juta penjawat awam dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah (exit policy) diperkenalkan pada tahun lepas. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas selama 200 hari setahun dan mempunyai komitmen luar tugas. 

"Kita tidak terus buang mereka. Kita akan bagi latihan, kursus, pemantauan dan pemerhatian dalam tempoh enam bulan sebelum mereka diberi pilihan untuk berhenti," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian sambutan Hari Terbuka NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari Sabtu. 

Menurutnya, selain diberi latihan, penjawat awam terbabit juga boleh ditukarkan jabatan atau portfolio masing-masing bagi meningkatkan dan menambah baik prestasi mereka. Ali berkata dasar pemisah itu juga disambut baik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) demi penambahbaikan perkhidmatan awam ketika ini dan di masa hadapan. 

Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) yang dibentangkan Najib di Dewan Rakyat Khamis lepas, kerajaan bakal memperkenalkan dasar pemisah bagi personel berprestasi rendah selain merasionalisasi sektor awam dan mewajarkan saiz perkhidmatan. 

Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat yang disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan yang lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat. 

Bernama Online

Friday, May 22, 2015

KEM KEPIMPINAN : MEMBINA KARISMA PEMIMPIN / EKSPLORASI BAKAT KEPIMPINAN

Program Kem Kepimpinan : Membina Karisma Pemimpin / Eksplorasi Bakat Kepimpinan telah diadakan di Sewan Jubli Perak, INTAN Wilayah Utara pada 21 Mei 2015. Objektif Program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang bagaimana untuk membina keyakinan diri dan sifat kepimpinan di dalam diri para pelajar. Seramai 50 orang pelajar dan 10 orang guru mentor/ pembimbing dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda terlibat di dalam program ini.


Program ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ‘Motivasi Diri’ dan ‘Skil Kepemimpinan Cara Al-Fateh’. Untuk slot pertama para peserta di dedahkan teknik untuk meningkatkan pemahaman dalam pelajaran, berfikir secara positif dan meningkatkan keyakinan diri. Manakala untuk slot kedua pula para peserta didedahkan dengan kuasa pidato dan komunikasi , pemikiran strategik dan skil kepimpinan Al-Fateh. Peserta juga turut dapat merasai pengalaman maklumat visual tentang faktor-faktor kekebalan Kota Konstantinopel sehingga 12 percubaan tentera Islam sebelumnya tidak mampu meruntuh dan menawan empayar Kristian Byzantine sehinggalah Sultan Muhammad al-Fateh dapat menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine.















Thursday, May 21, 2015

Bengkel Pengurusan Tatatertib



klik imej untuk paparan sebenar

Wednesday, May 20, 2015

Warga INTURA

Sila klik imej untuk paparan sebenar


Bengkel Pemandu Cemerlang



klik imej untuk paparan sebenar

Sunday, May 17, 2015

PROGRAM KECERGASAN WARGA (SENAMROBIK)

Program Kecergasan Warga INTURA merupakan aktiviti kecergasan yang dijalankan secara berkala setiap bulan. Program ini bukan sekadar  aktiviti sukan dan kecergasan semata-mata tetapi peluang untuk bertemu dan mengeratkan silaturrahim antara warga kerja tanpa mengira pangkat dan peringkat. 

Program ini telah dijalankan pada 17 Mei 2015 dan antara pengisian program kecergasan warga kali ini ialah aktiviti senamrobik dan perkongsian maklumat sesama warga. Semua warga menggunakan peluang ini untuk bersama-sama beriadah dan program ini juga merupakan persediaan untuk Kejohanan Sukan Antara Kampus yang akan berlangsung di IINTIM pada tahun ini.














Sunday, May 10, 2015

PROGRAM JPA4U@INTURA : KEM SAHSIAH ANAK ANGKAT


Program JPA4U@INTURA : Kem Sahsiah Anak Angkat telah diadakan di INTAN Wilayah Utara pada 7 hingga 9 Mei 2015. Objektif program ini adalah untuk membina semangat camaraderie di kalangan para peserta yang terdiri dari pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda. 


Program sekolah angkat ini melibatkan empat Modul Teras dimana setiap modul terbahagi kepada fokus untuk meningkatkan motivasi dan keupayaan para pelajar dalam membina sahsiah unggul untuk memasuki pasaran kerja di masa hadapan. Program ini dijalankan secara berterusan dan dijangka akan tamat pada bulan Ogos 2015.


Program pada kali ini merupakan Modul Teras 1 yang menekankan tentang Aktiviti Pengukuhan Jatidiri/Kem Motivasi Modal Insan bagi guru dan pelajar berdasarkan Konsep Mentor-Mentee.


Antara pengisian program kali ini termasuklah Penilaian Psikologi (Indeks Bimbingan Kerjaya) dan Inventori Tingkah laku di mana semua pelajar dan guru yang terlibat akan diberi peluang untuk menduduki ujian ini dan berbincang tentang hasil yang diperolehi dengan Pn. Juwairiyah Binti Jaafar, Perunding Latihan Kanan, Kluster Pengajian Etika Profesional dan Integriti, INTAN Bukit Kiara.


Selain daripada itu para peserta turut berpeluang untuk mencuba bakat dalam pencarian ilmu di Pusat Sumber Maklumat, INTURA di mana para peserta bersaing secara sihat dalam mencari bahan berdasarkan arahan yang diberi.


Para peserta turut menjalani aktiviti pengukuhan pasukan untuk merapatkan hubungan sesama pelajar dan guru selaku mentor pembimbing. Antara aktiviti pengukuhan pasukan termasuklah Latihan Dalam Kumpulan, Aktiviti di iLead Park, Qiamullail dan Kembara Eksplorasi Diri di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lenggong, Baling.


Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zurina (Pengarah Wilayah Utara). Beliau turut menekankan tentang perlunya membina sahsiah diri dalam membentuk imej pelajar cemerlang. YBrs. Dr. Zurina turut menyampaikan sijil dan hadiah pertandingan kepada mentor dan pelajar yang terlibat dalam program ini.


Secara keseluruhannya program ini banyak membantu para pelajar dalam membina sahsiah diri dan meningkatkan keyakinan diri para pelajar dalam berkomunikasi.