Friday, May 29, 2015

JPA AKAN JUMPA PENJAWAT AWAM DI BAWAH PRESTASI SEBENAR - AHMAD JAILANI

KOTA KINABALU, 28 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dijangka mengadakan pertemuan dengan penjawat awam yang dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah diperkenal tahun lalu. 

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata pertemuan itu antara lain bertujuan mengenal pasti lebih lanjut sebab dan alasan prestasi penjawat awam terbabit tidak memberangsangkan. 

Beliau berkata pertemuan itu akan diadakan setelah JPA selesai mengumpul maklumat dan mengenal pasti sama ada penjawat awam terbabit berkhidmat di peringkat persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun. "Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal akan berjumpa dengan mereka (penjawat awam terbabit) untuk melihat (mengetahui sebab) pencapaian dan prestasi mereka rendah," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Perdana Intan (Institut Tadbiran Awam Negara) Sabah, hari ini. 

Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kira-kira 5,000 daripada 1.6 juta penjawat awam dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah diperkenal. 

Kesemua penjawat awam itu didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas selama 200 hari setahun dan mempunyai komitmen luar tugas. Ahmad Jailani berkata menerusi pertemuan itu, ia akan memudahkan pihak JPA mengetahui langkah yang perlu diambil bagi memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi penjawat awam terbabit. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jailani mengingatkan penjawat awam supaya memperkasa dan memelihara integriti ketika bertugas dan tidak sewenang-wenang menggunakan media sosial menyalurkan maklumat sehingga mencemarkan imej jabatan. 

Sebaliknya, penjawat awam yang beretika dan bertanggungjawab harus menggunakan media sosial sebagai saluran memberi penerangan berhubung dasar kerajaan secara pantas, katanya. "Terdapat pekeliling mengenai penggunaan media sosial ini supaya (penjawat awam) tidak menggunakan (media sosial) sehingga menjatuhkan imej jabatan, jika ada (berbuat demikian), tindakan tatatertib akan diambil," katanya. 

Mengenai Bicara Perdana Intan, Ahmad Jailani berkata program itu bagi memperjelas usaha transformasi dan inisiatif kerajaan dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam, sekali gus menggalakkan penjawat awam melakukan transformasi menjurus kepada kos rendah tetapi berimpak tinggi. Bertajuk Transformasi Perkhidmatan Awam: Kepimpinan Kreatif dan Inovatif, program bicara perdana itu disertai lebih 300 penjawat awam pelbagai jabatan di negeri ini dan Labuan.

Bernama Online

No comments: