Program
JPA4U@INTURA : Kem Sahsiah Anak Angkat telah diadakan di INTAN Wilayah Utara
pada 7 hingga 9 Mei 2015. Objektif program ini adalah untuk membina semangat camaraderie di kalangan para peserta
yang terdiri dari pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal dan
Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda.
Program sekolah angkat
ini melibatkan empat Modul Teras dimana setiap modul terbahagi kepada fokus
untuk meningkatkan motivasi dan keupayaan para pelajar dalam membina sahsiah
unggul untuk memasuki pasaran kerja di masa hadapan. Program ini dijalankan
secara berterusan dan dijangka akan tamat pada bulan Ogos 2015.
Program pada
kali ini merupakan Modul Teras 1 yang menekankan tentang Aktiviti Pengukuhan Jatidiri/Kem Motivasi Modal Insan bagi guru dan pelajar
berdasarkan Konsep Mentor-Mentee.
Antara
pengisian program kali ini termasuklah Penilaian Psikologi (Indeks Bimbingan
Kerjaya) dan Inventori Tingkah laku di mana semua pelajar dan guru yang
terlibat akan diberi peluang untuk menduduki ujian ini dan berbincang tentang
hasil yang diperolehi dengan Pn. Juwairiyah Binti Jaafar, Perunding Latihan Kanan, Kluster
Pengajian Etika Profesional dan Integriti, INTAN Bukit
Kiara.
Selain daripada itu para peserta turut berpeluang untuk mencuba bakat
dalam pencarian ilmu di Pusat Sumber Maklumat, INTURA di mana para peserta
bersaing secara sihat dalam mencari bahan berdasarkan arahan yang diberi.
Para peserta turut menjalani aktiviti pengukuhan pasukan untuk
merapatkan hubungan sesama pelajar dan guru selaku mentor pembimbing. Antara
aktiviti pengukuhan pasukan termasuklah Latihan Dalam Kumpulan, Aktiviti di
iLead Park, Qiamullail dan Kembara Eksplorasi Diri di Pusat Rekreasi Air Panas
Ulu Lenggong, Baling.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zurina (Pengarah Wilayah Utara). Beliau turut menekankan tentang
perlunya membina sahsiah diri dalam membentuk imej pelajar cemerlang. YBrs. Dr.
Zurina turut menyampaikan sijil dan hadiah pertandingan kepada mentor dan
pelajar yang terlibat dalam program ini.
No comments:
Post a Comment