Seminar Kepimpinan Muda 2015 bertemakan “Merai Perbezaan,
Mencari Persamaan” telah diadakan pada 27 Oktober 2015 bertempat di Dewan Jubli
Perak, INTAN Wilayah Utara. Tema ini membawa makna dalam kepelbagaian generasi
dalam perkhidmatan awam yang kini terdiri daripada empat generasi iaitu Baby Boomers, X, Y dan Z.
Kepelbagaian jurang dalam generasi ini juga mengakibatkan perbezaan dari segi
karenah, pendapat, cara berfikir dan cara bertindak. Melalui seminar ini juga,
pendedahan dan penerangan telah diberi kepada semua peserta untuk mereka lebih
memahami tentang kepelbagaian ini di mana nilai positif dan kekuatan yang ada
telah digabungkan untuk memperkukuhkan system penyampaian perkhidmatan awam.
Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 160 orang penjawat
awam pelbagai jabatan dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Majlis
Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mazlan Yusoff, Pengarah
INTAN Malaysia. Sesi perkongsian ilmu pula telah disampaikan oleh YBhg.
Professor Dato’ Dr. Haji Mat Saat bin Baki, Pakar Psikologi dari Hospital
Pantai Kuala Lumpur yang membincangkan topik “Kepelbagaian Generasi : Satu
Keistimewaan dalam Perkhidmatan Awam”.
Forum “Kepelbagaian Generasi : Memperkasakan Inter-Generasi”
pula dikongsikan oleh tiga orang panel iaitu Dr. Salmi Mohd Isa, Pensyarah
Kanan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Ustaz Muhammad
Syaari Ab. Rahman, Pengarah Urusan Ibrah Paradigm Training & Consultancy,
dan En. Azmil Abrar, Pengurus Pembangunan dan Kawalan Kandungan, TV Al-Hijrah.
YBrs. Dr. Zurina Abdul Hamid, Pengarah INTAN Wilayah Utara pula bertindak
selaku moderator.
Program sebegini diharapkan dapat dijadikan wadah
perkongsian ilmu untuk menguruskan keseluruhan modal insan yang terdiri dari
pelbagai generasi dalam perkhidmatan awam dan dapat mengenalpasti kekuatan dan
peluang yang ada bagi mengukuhkan perkhidmatan awam.