Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, hubungan tersebut bertambah baik dari semasa ke semasa dengan kerjasama antara kementerian dan jabatan di negara dan Singapura yang semakin meningkat.

"Malahan, hubungan akrab antara perkhidmatan awam Malaysia dan Singapura dijadikan sebagai model kepada negara untuk berinteraksi dengan perkhidmatan awam dari negara lain.

"Saya juga mahu melihat interaksi aktif dan produktif yang mana kita berkongsi pendorong bersama bagi meningkatkan usaha kolaborasi demi kebaikan kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas memberikan ucapan dalam Seminar Bersama ke-7 bagi Pemimpin Perkhidmatan Awam Malaysia & Singapura dan Program Sukan Perkhidmatan Awam ke-38 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perhidmatan Awam negara, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Perkhidmatan Awam Singapura, Tan Sri Peter Ong, Setiausaha Tetap Bahagian Perkhidmatan Singapura, Yong Yong-I dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Pada program selama tiga hari yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula semalam, Ali Hamsa mengetuai 49 delegasi negara merangkumi Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Agensi Pusat, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kanan perkhidmatan awam Malaysia menyertai seminar dan pertandingan persahabatan diantara kedua negara dalam sukan bowling dan golf.

Manakala Singapura diketuai Peter bersama 29 pegawai, merangkumi Setiausaha Tetap, Ketua Badan Berkanun dan pegawai kanan Perkhidmatan Awam Singapura.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ali berkata, selain hubungan formal dengan perkhidmatan awam, pihaknya juga mendapat maklum balas positif apabila kita membincangkan mengenai peluang pelaburan di sini.

"Ketua Perkhidmatan Awam mereka (Singapura) memberitahu mungkin beliau akan datang kembali bersama pihak berkuasa pelaburan bersama pelabur di Singapura ke sini.

"Ini antara maklum balas positif diperolehi apabila lebih banyak maklumat diberikan daripada bahagian lain dan peluang berbeza yang terdapat di negara," ujarnya.