Wednesday, October 28, 2015

Seminar Kepimpinan Muda 2015

Seminar Kepimpinan Muda 2015 bertemakan “Merai Perbezaan, Mencari Persamaan” telah diadakan pada 27 Oktober 2015 bertempat di Dewan Jubli Perak, INTAN Wilayah Utara. Tema ini membawa makna dalam kepelbagaian generasi dalam perkhidmatan awam yang kini terdiri daripada empat  generasi iaitu Baby Boomers, X, Y dan  Z. Kepelbagaian jurang dalam generasi ini juga mengakibatkan perbezaan dari segi karenah, pendapat, cara berfikir dan cara bertindak. Melalui seminar ini juga, pendedahan dan penerangan telah diberi kepada semua peserta untuk mereka lebih memahami tentang kepelbagaian ini di mana nilai positif dan kekuatan yang ada telah digabungkan untuk memperkukuhkan system penyampaian perkhidmatan awam.

Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 160 orang penjawat awam pelbagai jabatan dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mazlan Yusoff, Pengarah INTAN Malaysia. Sesi perkongsian ilmu pula telah disampaikan oleh YBhg. Professor Dato’ Dr. Haji Mat Saat bin Baki, Pakar Psikologi dari Hospital Pantai Kuala Lumpur yang membincangkan topik “Kepelbagaian Generasi : Satu Keistimewaan dalam Perkhidmatan Awam”.

Forum “Kepelbagaian Generasi : Memperkasakan Inter-Generasi” pula dikongsikan oleh tiga orang panel iaitu Dr. Salmi Mohd Isa, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman, Pengarah Urusan Ibrah Paradigm Training & Consultancy, dan En. Azmil Abrar, Pengurus Pembangunan dan Kawalan Kandungan, TV Al-Hijrah. YBrs. Dr. Zurina Abdul Hamid, Pengarah INTAN Wilayah Utara pula bertindak selaku moderator.


Program sebegini diharapkan dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu untuk menguruskan keseluruhan modal insan yang terdiri dari pelbagai generasi dalam perkhidmatan awam dan dapat mengenalpasti kekuatan dan peluang yang ada bagi mengukuhkan perkhidmatan awam.












No comments: