Ahmad Razif
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, menerusi inisiatif itu, kakitangan awam di negeri ini berpeluang mendapat latihan dan pendedahan lengkap berkenaan budaya kerja di peringkat Persekutuan bagi diaplikasikan di jabatan masing-masing.

“Inisiatif ini bukan sesuatu yang baharu kerana terdahulu pernah digerakkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh ketika mengetuai pentadbiran negeri.

“Kita mahu pegawai kita berani menghadapi cabaran dan keluar daripada kepompong budaya kerja lama yang tidak membawa perubahan. Manfaatnya nanti bukan sahaja kepada pegawai secara individu malah organisasi dan seluruh rakyat apabila mereka ini dapat memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Hari Terbuka Psikologi negeri yang perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhid-matan Awam (Operasi), Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Dalam majlis bertemakan Psikologi Melakar Perubahan: Menelusuri Kesejahte-raan itu, seramai 31 pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri diberi pengiktirafan dan pentauliahan sebagai Akrab selepas menamatkan latihan yang ditetapkan sejajar Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 2005.

Menurut Ahmad Razif, pihak-nya juga bercadang menempatkan pegawai yang baru berkhidmat dalam perkhidmatan negeri untuk menjalani latihan sama dengan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam usaha membina rangkaian lebih luas buat mereka.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri menerusi Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) kini mempunyai sebuah pusat yang beroperasi di Kuala Lumpur khusus buat anak negeri di perantauan yang mahu mendapatkan bantuan mahu pun merujuk sebarang permasalahan.

Katanya, antara bantuan awal yang ditawarkan Sekretariat Permata sebelum ini termasuk menyediakan bas percuma untuk pelajar anak negeri pulang ke kampung pada sambutan hari raya Aidilfitri lalu.

“Lebih banyak pusat sehenti akan dibuka di bandar terpilih antaranya di Johor (Universiti Teknologi Malaysia) untuk zon selatan serta satu lagi di zon utara namun loka-sinya belum dikenalpasti.

“Kita akan menempatkan bekas pemimpin pelajar di pusat itu yang akan menguruskan bantuan sewajarnya kepada anak Terengganu di kawasan tersebut kerana mereka lebih memahami permasalahan yang dihadapi pelajar,” katanya.

Utusan Malaysia Online