SAUDARA PENGARANG,
Saya ialah bekas pelatih penolong pembantu perubatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan sesi 2013/2015 yang tamat latihan pada Disember 2015, namun masih belum menerima surat lantikan sehingga kini.
Melalui taklimat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebelum ini, mereka mengatakan surat lantikan tersebut akan ditawarkan seawal bulan Februari 2016 manakala surat penempatan pula diedarkan pada Mac 2016.
Walau bagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang surat atau makluman tentang status lantikan jawatan kami. Lebih mendukacitakan, pelatih bagi jawatan jururawat yang sama sesi dan tarikh tamat latihannya dengan kami, telah pun ditawarkan pekerjaan sejak Mac lalu.
Ramai antara kami sudah berkeluarga dan memerlukan pelantikan segera ke dalam jawatan ini untuk menyara kehidupan, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi. Malah, ada yang terpaksa bekerja sementara di kedai makan, restoran makanan segera dan stesen minyak demi menampung keperluan keluarga.
Sehubungan itu, kami ingin memohon jasa baik dan keprihatinan daripada pihak Kementerian Kesihatan dan SPA untuk mempercepatkan proses pelantikan bagi mengelakkan pengangguran dalam kalangan bekas pelatih penolong pembantu perubatan yang tamat latihan pada penghujung tahun lepas.
Kami amat berharap pihak yang bertanggungjawab juga akan mengambil langkah sewajarnya demi menjaga imej program latihan ini atau setidak-tidaknya memaklumkan status lantikan kami dan tidak membuatkan kami ternanti-nanti. Semoga nasib anak bangsa yang ingin menyumbang bakti kepada masyarakat dapat diberikan pertimbangan sewajarnya.
SHAKIRA KHAIRUDIN
Malaysia
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment