PUTRAJAYA 23 Jun – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan penjawat awam agar sentiasa menjaga rahsia kerajaan dan tidak membocorkannya kepada pihak luar.
Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang perkara berkenaan, setiap individu perlu juga melengkapkan diri dengan nilai ‘self impose’ atau ‘self enforce’.
“Pegawai kerajaan tertakluk tatacara dan tataetika perkhidmatan, kalau ada kalangan kita yang ada perasaan untuk membocorkan atau kongsi rahsia dengan pihak luar, undang- undang tetap ada.
“Kita punyai Akta Rahsia Rasmi (OSA), tapi ia hanya undang-undang yang menjadi panduan, penguatkuasaan yang sebenar adalah diri kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Timbalan Perdana Menteri bersama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sri Satria di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Anak Kujat; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dalam majlis yang dihadiri 1,200 tetamu itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada 100 anak yatim dan fakir miskin dari Tahfiz Al-taqwa dan Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh, Selangor.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara melibatkan rahsia tersebut bukanlah satu amaran sebaliknya sebagai peringatan kepada semua penjawat awam terutama ketika bulan Ramadan.
“Amalan yang baik seperti menyimpan rahsia perlu dibuat bukan setakat pada bulan Ramadan sahaja tetapi ia perlu dilakukan pada setiap masa dan ketika.
“Kita telah bersumpah atas nama Allah untuk menyimpan rahsia jadi sekiranya kita langgar sumpah itu kita akan dilaknat. Sebelum itu terjadi, saya ingatkan pegawai awam termasuk di KDN supaya menjaga sumpah yang sudah dibuat,” katanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment