Setiap individu harus mempunyai mekanisme bela diri yang kuat bagi menangkis serangan pembuli siber, selain meningkatkan tahap kepercayaan diri atau self-esteem supaya tidak mudah terkesan dengan mana-mana asakan terutama di Internet.
Presiden Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam Malaysia, Dr. Abd. Jalil Hassan berkata, seseorang remaja perlu mempunyai asas psikologi yang tinggi agar tidak mudah terpengaruh dengan ejekan atau penghinaan di dalam media sosial yang boleh mendorong kepada masalah yang lebih besar iaitu bunuh diri.
Jelasnya, apabila sesuatu maklumat sama ada butiran peribadi, gambar atau status dimuat naik ke laman sosial, setiap individu perlu tahu sama ada dia bersedia untuk menerima kritikan, cacian atau respons sebaliknya daripada orang awam.
“Jika kita tidak bersedia dan mudah terasa dengan komen berbaur negatif, adalah lebih baik tidak memulakannya dan meletakkan diri sendiri dalam keadaan tertekan. Sudah tentu tindakan kita sendiri yang mengundang reaksi daripada luar, mungkin ada pihak boleh terima dan pasti ada yang tidak bersetuju.
“Oleh itu, kawalan perlu ditetapkan. Perlu ingat bahawa Internet harus ada hadnya, jangan terlalu asyik mengejar perhatian ramai tetapi akhirnya merosakkan diri sendiri dan terpaksa menanggung akibat apabila menjadi mangsa buli siber,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Sabtu.
Tambah beliau, pemain Internet akan sentiasa mencari kelemahan psikologi dan cuba menyerang mangsa ketika seseorang itu berada dalam situasi yang membenarkan persepsi orang lain masuk ke dalam pemikirannya.
“Keadaan ini boleh memberi kesan kepada mangsa sebagai contoh, apabila dia memutuskan untuk cuba bunuh diri, ada pihak yang akan mengasak dengan kata-kata seolah-olah mencabar. Kalau mangsa tak kuat, mereka akan tewas dan akhirnya bertindak bunuh diri.
“Dari sudut psikologi, ini yang dikatakan fullfiling prophecy iaitu apabila seseorang itu tanpa sedar telah menyebabkan sesuatu ramalan itu menjadi kenyataan. Dalam erti kata lain, jangkaan tentang sesuatu subjek boleh mempengaruhi tingkah laku kita dan menyebabkan jangkaan itu direalisasikan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abd. Jalil berkata, sekiranya berlaku peras ugut misalnya melibatkan kehormatan diri atau ugutan untuk menyebarkan gambar kurang sopan, mangsa tidak perlu panik tetapi seharusnya cuba mengatasi dengan cara berunding dengan ahli keluarga terdekat atau orang yang rapat.
“Jangan terlalu melayan ugutan, mangsa perlu tahu benda yang sudah terjadi tidak mungkin dapat diulang semula. Jadi, perlu faham bagaimana hendak mengendalikannya. Sebagai contoh, gambar yang telah disebarkan ke Internet, mangsa ada hak untuk tidak mengaku dan biarkan saja perkara itu berlalu tetapi dalam masa sama, laporkan kepada pihak berkuasa.
“Begitu juga gambar-gambar yang dimuat naik dalam talian atau troll, gambar itu sebenarnya diambil daripada profil-profil orang awam kemudian dimanipulasikan pihak tertentu dan disebar melalui WhatsApp, Facebook, Twitter, maka jangan senang-senang suka kongsikan gambar peribadi,” katanya.
Utusan Malaysia Online