Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, dalam keadaan yang memerlukan perbe­lanjaan tersebut digunakan secara optimum, pengurusan kewangan yang cekap dan efisien adalah penting untuk diamalkan.

Menurutnya, setiap perbelanjaan dikeluarkan itu juga perlu dilihat sama ada wajar atau tidak bagi memastikan segala yang di­belanjakan itu dapat digunakan secara berkesan dan mampu memberi faedah kepada semua pihak.

“Perbelanjaan daripada peruntukan yang diberi perlu diurus dengan cekap dan penuh integriti supaya tidak berlakunya pemborosan, pembaziran atau penyelewengan dan wang yang dapat dijimatkan itu seterusnya digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih baik serta memberi faedah kepada rakyat.

“Namun, jika perbelanjaan itu berkaitan untuk menambah baik produktiviti perkhidmatan seper­ti penggantian komputer kerana tempoh penggunaannya telah lama selain fungsinya semakin lambat dan boleh menjejaskan perjalanan jabatan, jika ada lebihan peruntukan, ia boleh digunakan untuk membeli komputer baharu, itu maksud saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Seminar Transformasi Perolehan Kerajaan anjuran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Melaka serta Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (Inspim) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Se­tiausaha Kerajaan Negeri, Da­tuk­ Naim Abu Bakar yang turut dihadiri Pengerusi PAC negeri, Datuk Sazali Muhd. Din dan Pe­ngarah Jabatan Audit negeri, Redzuan Abdul Samad.

Ambrin berkata, setiap kes yang didedahkan di dalam laporan audit perlu dijadikan iktibar oleh setiap peringkat jabatan.
Katanya, perkara itu merupa­kan usaha mentransformasikan pentadbiran awam di semu­a pe­ringkat seterusnya memperbaiki kelemahan dan mengekang berlakunya penyelewengan.

Utusan Malaysia Online