Ali Hamsa
Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mewakili kakita­ngan awam mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan atas pengumuman tersebut dan berikrar memberikan khidmat terbaik kepada negara serta rakyat.

Katanya, Bajet 2017 yang bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Meng­hemah Perbelanjaan Inklu­sif, Mensejahtera Kehidupan Rak­yat Seluruh’ merupakan ko­mitmen kerajaan terhadap ke­se­jahteraan rakyat termasuk penjawat awam sendiri

“Antara yang diumumkan adalah peningkatan had kelayakan minimum dan maksimum pinjaman perumahan kerajaan, pelanjutan pegawai kontrak selama setahun dan pemberian kemudahan cuti belajar bergaji penuh kepada kumpulan pelaksana.

“Penghargaan juga dirakamkan kepada kerajaan terhadap ke­putusan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 bagi penjawat awam dan sebanyak RM250 bagi pesara yang mula dibayar pada Januari 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama Ali memberi­tahu, Bajet 2017 akan dilaksanakan dengan segera supaya rakyat dan penjawat awam dapat terus menikmati dan memperoleh faedah seperti yang diumumkan.

“Namun saya ingin menegaskan bahawa beberapa insiden yang berlaku melibatkan penyelewengan segelintir penjawat awam, tetapi majoriti penjawat awam masih mendukung prinsip perkhidmatan awam untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat secara berintegriti.