KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Hasrat kerajaan untuk memperluas program MyBrain 15 kepada penjawat awam dan kakitangan badan berkanun yang ingin melanjutkan pengajian secara separuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan dilihat membantu mempertingkat produktiviti mereka dalam perkhidmatan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata cadangan itu adalah langkah terbaik kerajaan kerana dapat memberi peluang kepada penjawat awam untuk sentiasa menaik taraf diri mereka.
"Manakala had kelayakan minimum pinjaman perumahan dinaikkan daripada RM80,000 kepada RM120,000 dan had kelayakan maksimum yang dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000 menunjukkan kerajaan masih prihatin terhadap penjawat awam walaupun elaun perumahan tidak dinaikkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengulas pemberian bonus setengah bulan gaji atau bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam, Azih berkata Cuepacs agak terkilan kerana harapan untuk mendapat bonus dua bulan tidak tercapai dan pemberian bonus setengah bulan gaji tidak memadai bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau bayaran minimum RM500 dan meningkatkan had kelayakan minimum dan maksimum pinjaman perumahan serta memansuhkan wang proses pinjaman perumahan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan berkata pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kerja 1955 dan Akta Perburuhan berkaitan adalah sesuai dengan peredaran masa agar majikan mempunyai fleksibiliti dalam pengurusan sumber manusia.
"Ini merupakan saranan MEF sejak dahulu kerana akta yang sedia ada lebih memenuhi keperluan pada era 50-an dan 60-an yang menjurus kepada bidang pertanian dan perladangan.
Sekarang negara kita berpaksikan ekonomi, perkhidmatan dan berinovatifkan modal insan. Jadi penggubalan akta ini pasti dapat meningkatkan mutu pekerja dan majikan sekali gus memastikan kebajikan pekerja terbela," katanya.
Beliau juga berkata pengumuman berkaitan mengoptimumkan kapasiti latihan syif berganda bagi program sepenuh masa adalah cadangan terbaik kerajaan untuk melahirkan pekerja mahir menjelang 2020 seperti disasar.
Dalam Bajet 2015, kerajaan turut mengumumkan akan mempertingkat program di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang membabitkan lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, graduan universiti dan kolej serta pekerja industri, terutama pekerja separuh mahir.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Khalid Atan pula menyifatkan Bajet 2015 sebagai menjaga dan mengambil kira kebajikan semua golongan masyarakat, termasuk pekerja.
Beliau berkata Sistem Insurans Pekerjaan yang diperkenal adalah tindakan wajar kerajaan bagi membantu golongan pekerja terutama melalui pemberian bantuan saraan sementara serta latihan semula dan mempertingkat kemahiran.
Khalid bagaimanapun meminta kerajaan memberi penjelasan lanjut berkaitan penggubalan Akta Kerja 1955 dan berharap ia memberi impak positif kepada pekerja.
Bagi membantu golongan pekerja yang diberhentikan, Najib turut mengumumkan Sistem Insurans Pekerjaan dan peluang latihan semula dalam Bajet 2015.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment