Friday, October 31, 2014

MEKANISME KERAJAAN SAMPAIKAN MAKLUMAT CBP BUKAN PEMBAZIRAN - KPPA




KUALA KANGSAR, 30 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha kerajaan merangka mekanisme pemberitahuan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) menerusi seminar, kursus dan dialog kepada rakyat khususnya penjawat awam, bukanlah pembaziran.
Beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan memperbetul persepsi salah mengenai CBP dalam kalangan penjawat awam, menyebar luas fakta sebenar mengenai kebaikan pelaksanaan CBP, mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dan berhemat dalam aspek perbelanjaan.

"Saya sebagai ketua pengarah, turun berjumpa dengan penjawat awam untuk menerangkan tentang CBP supaya mereka faham. Bila mereka faham, mereka juga akan bercerita dengan keluarga dan rakan-rakan tentang peranan CBP yang diperkenalkan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah myGST4U di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan pihak yang menganggap usaha kerajaan menyebarkan maklumat mengenai CBP menerusi program, seminar dan kursus adalah membazir.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi berkata usaha kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab itu.

Mengenai program hari ini, beliau berkata Perak merupakan negeri pertama bagi program JPA itu tahun ini dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"JPA telah diberi mandat untuk turun padang dan menyebarkan maklumat yang betul dan sahih kepada penjawat awam di seluruh negara," katanya.

Bernama Online

No comments: