Beliau juga menasihatkan kakitangan awam agar tidak hilang fokus dalam melaksanakan tugas sejajar dengan objektif dasar kerajaan yang memberi tumpuan terhadap kepentingan rakyat.

“Sebenarnya inilah yang saya tuntut dalam kerajaan dan dalam pentadbiran supaya dari semasa ke semasa kita boleh memperlihatkan bukan sahaja pembaharuan tetapi peningkatan dari segi pencapaian, tindakan, pengurusan dan program-program yang dijalankan oleh kerajaan untuk rakyat.

“Inilah yang mesti kita sematkan dalam minda, dalam ingatan bahawa sepanjang masa biarlah hari esok lebih baik daripada hari ini, biarlah bulan depan lebih baik dari bulan ini,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Majlis itu dihadiri kira-kira 4,000 kakitangan awam daripada pelbagai agensi dan kementerian di seluruh negara.

Menurut Najib, beliau dan rakan-rakan dalam Kabinet yang baharu berazam serta bertekad melakukan yang terbaik dalam semangat satu pasukan bagi mencapai segala aspirasi rakyat dan dasar-dasar negara.

Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak dalam perkhidmatan awam di bawah kepimpinan ketua setiausaha negara, pencapaian negara dalam pelbagai aspek dapat ditingkatkan.

“Marilah kita bekerjasama sebagai satu keluarga dan sebagai satu pasukan yang sentiasa saling bantu-membantu dan percaya mempercayai antara satu sama lain,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumba­ngan duit raya kepada 15 orang anak yatim dan sumbangan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM15,000 kepada rumah-rumah kebajikan di seluruh Wilayah Persekutuan.
Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Tidak ketinggalan Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam.

Menteri-menteri di JPM, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Nancy Shukri, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Paul Low Seng Kuan, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Mah Siew Keong dan timbalan menteri, Datuk Razali Ibrahim turut menghadiri majlis itu.