Mat Ali Hassan (mugshot sahaja)
Mat Ali Hassan
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan berkata, ikrar tersebut membolehkan sesuatu urusan dapat dilakukan dengan lebih profesional selain menegakkan Prinsip Anti Rasuah sesama badan korporat di negara ini.
“Oleh kerana usaha itu adalah satu usaha yang baharu, mungkin ada pihak merasa ragu dan sukar untuk menandatangani ikrar tersebut dikhuatiri pelaksanaan tugasan dan proses harian menjadi rigid dan tidak dapat diuruskan dengan baik.
“Dahulunya kita boleh berjanji hanya melalui mulut, tetapi sekarang dengan adanya perjanjian ini, itu merupakan hasrat sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelakkan terjadi perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau ditemui dalam Perhimpunan Bulanan Agensi Kerajaan Daerah Jelebu dan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat di Dewan Besar D'Sury, Kuala Klawang, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap dan Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu, Khairy Maamor.
Katanya, warga pentadbiran perkhidmatan awam sebenarnya mempunyai satu nilai yang tinggi dengan melaksanakan pemantapannya dan mempunyai daya tahan tersendiri.
“Perkhidmatan awam merupakan sistem pentadbiran kerajaan dan mempunyai daya tahan, cuma ada beberapa perkara yang tidak begitu telus pada pandangan umum, yang perlu kita perbetulkan,” jelasnya.
Maka katanya, adalah diharap dengan Ikrar Integriti Korporat itu dapat memperkukuhkan lagi nilai perkhidmatan awam itu supaya soal ketelusan dilihat dengan lebih jelas dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, perkhidmatan juga memerlukan kolaborasi antara pihak yang berkepentingan dan pihak yang boleh memberi nilai tambah kepada perkhidmatan awam ini selain membudayakan kecemerlangan dan integriti dalam perkerjaan.

Utusan Malaysia Online