Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, banyak manfaat boleh diperoleh melalui 1Pesara seperti bantuan daripada segi kesihatan, pengurusan kewangan, pembangunan keusahawanan dan panduan bekerja semula.

“Alhamdulillah, menerusi karnival yang telah kita ada di Sarawak, lebih 2,000 pesara dan bakal pesara perkhidmatan awam telah mendaftar sebagai 1Pesara,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Karnival 1Pesara@Sarawak di Kompleks Islam di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Gani dan Setiausaha Persekutuan, Datuk Md Yahaya Basimin.

Sempena karnival selama dua hari itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti seminar persediaan persaraan, pameran agensi kerajaan dan swasta, seminar Usahawan 1Malaysia (1MET), saringan kesihatan dan klinik bergerak, padanan kerjaya serta jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Mohamad Zabidi berkata, bersara daripada perkhidmatan awam bukan titik noktah kepada pesara untuk tidak memberi apa-apa sumbangan kepada kerajaan.

Katanya, mereka mungkin boleh menyumbang kembali kepada masyarakat berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki semasa menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Walaupun sudah bersara, anda (pesara) masih lagi dalam perkhidmtan awam kerana kerajaan masih lagi membayar pencen dan memberi bantuan bulanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPA akan sentiasa mendekatkan diri kepada masyarakat dalam merakyatkan lagi perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam akan diberi penekanan selari dengan kehendak masyarakat pada masa sekarang.

Utusan Malaysia Online