UBAH sistem kenaikan pangkat untuk mengambil kira sumbangan, pengalaman dan kecekapan kakitangan supaya prospek kerjaya mereka lebih cerah (Gambar Hiasan)
Saudara Pengarang,
SUDAH sampai masanya Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) menaik taraf serta menyusun semula sistem pentadbirannya walaupun JPA dianggap salah sebuah jabatan terbaik di negara ini.
Beberapa perubahan perlu diketengahkan memandangkan urusan pentadbirannya begitu mencabar dengan peningkatan mendadak permohonan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan juga ijazah yang mencecah ratusan ribu setahun untuk merebut jawatan kakitangan awam.
Bayangkan setiap tahun pemohon jawatan sektor awam berjumlah ratusan ribu sedangkan kekosongan cuma ada beberapa ribu sahaja.
Mereka yang memohon pula bukan sebarangan kerana mempunyai kelayakan ijazah, diploma dan sijil masing-masing.
Disebabkan terlalu ramai golongan yang mempunyai ijazah menganggur, ada di antara mereka ini hanya berani memohon jawatan sebagai Pembantu Tadbir atau Juruteknik dan itu pun kalau bernasib baik jika ada kekosongan.
Begitu juga nasib mahasiswa yang mendapat segulung ijazah dalam bidang pendidikan kini ramai di antara mereka hanya mampu duduk di rumah hingga ada yang sudah bertahun-tahun menanti jawatan perguruan.
JPA dan institusi-institusi pengajian tinggi hendaklah duduk semeja untuk membincangkan cara terbaik bagaimana untuk mengatasi masalah ini.
Kalau hendak dibuat perancangan, perkiraannya mudah sahaja di mana jumlah kekosongan guru yang perlu diisi setiap tahun seperti dirangkakan oleh Kementerian Pendidikan diserahkan kepada JPA bagi menentukan jumlah pelajar di dalam kursus perguruan.
Seterusnya, JPA memaklumkan kepada pihak universiti jumlah kuota yang diperlukan agar tidak diambil muat sesuka hati bagi kursus perguruan yang akhirnya menyebabkan lambakan bakal-bakal guru yang menganggur meningkat setiap tahun.
Begitu juga di dalam menentukan kenaikan pangkat, saya cadangkan supaya kenaikan pangkat rank and file dihidupkan kembali kerana ramai di antara kakitangan dan pegawai bawahan yang mempunyai prestasi cemerlang, cekap serta boleh membuat kerja-kerja lebih mencabar.
Mereka wajar diberikan peluang kerana kenaikan pangkat tidak semestinya mengikut kelulusan sahaja sementara mereka yang berkelayakan SPM dibiarkan kekal dengan jawatan kerani.
Mereka yang mempunyai sijil SPM juga layak ditawarkan jawatan Kerani Kanan atau Juruteknik Kanan seperti juga anggota polis yang berpangkat rendah boleh ditawarkan jawatan pegawai tinggi mengikut kecekapan, sumbangan dan prestasi kerja mereka.
Bukan semuanya bergantung kepada ijazah dan pendidikan, ada sesetengah aspek jawatan memerlukan pengalaman, kecekapan dan dedikasi yang melangkaui kelayakan akademik.
Untuk memberikan semangat kepada penjawat awam, maka sudah sampai masanya JPA merancangkan sesuatu untuk meningkatkan prestasi kakitangan awam itu sendiri.
Kebanyakan sektor swasta memilih pegawai-pegawainya bermula dari bawah melalui rank and file, mengutamakan kakitangan sedia ada dan selalunya syarikat mereka ini akan lebih maju lagi dengan kaedah tersebut.
Dicadangkan juga supaya jawatan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diuruskan terus oleh JPA dan bukannya pihak PBT itu sendiri supaya lebih adil.
Sekiranya semua PBT bukan lagi sebuah jabatan tertutup, maka kakitangannya boleh ditukarkan ke mana-mana PBT lain.
Yang paling penting, bukan hanya aspek kelayakan akademik diambil kira sebagai kelayakan kenaikan pangkat. Sebab itu juga sekolah dan universiti kini turut mengambil kira aktiviti kokurikulum dalam penilaian kecemerlangan pelajar.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban, Negeri Sembilan
Utusan Malaysia Online