KUALA SELANGOR 18 Feb. - Kerajaan tidak akan menambah atau mengurangkan bilangan penjawat awam, malah mengambil pendekatan redeployment jika ada keperluan mewujudkan perjawatan baharu pada masa depan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, jumlah 1.6 juta penjawat awam kini dilihat sudah memadai memandangkan golongan itu dilatih untuk bertugas secara multitasking, termasuk ke arah menghapuskan jawatan yang tidak lagi relevan sesuai dengan perubahan semasa.
Beliau berkata, ia adalah langkah yang diambil kerajaan sejak 2012 untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan bagi sektor itu dan ia masih dilaksana hingga ke hari ini.
“Semua penjawat awam sedia ada atau yang baharu perlu sentiasa bersiap sedia dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan.
“Kita tidak kurangkan perjawatan awam, mungkin ada beberapa jawatan dahulu hilang peranannya namun diganti dengan tugas baharu yang mengikut keperluan semasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ali berkata, pihaknya turut menerima banyak permintaan untuk menambah perjawatan baharu dalam agensi kerajaan termasuk sektor keselamatan, namun ia akan diteliti dan dipertimbang kewajarannya terlebih dahulu.
Dalam soal ini, beliau berkata kerajaan akan melihat sama ada penggunaan konsep redeployment adalah lebih sesuai atau sebaliknya bagi mengelak wujud kembali perjawatan yang tidak perlu.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) mencapai sasaran sepatutnya selaras dengan hasrat kerajaan yang menjadikan tahun 2017 sebagai tahun penyampaian perkhidmatan.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment