LUNDU 12 Feb. - Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bernilai RM165 juta yang diluluskan pembinaannya di sini, bakal menjadi pusat latihan baharu yang terbesar bagi jabatan itu di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan pusat latihan termahal itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Santubong yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa masih memegang jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini.
Katanya, cadangan tersebut telah disokong oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem kerana projek dirancang itu terletak di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.
“Sebagai tanda sokongan, Adenan telah memberikan sebidang tanah di sini, untuk dijadikan tapak pembinaan pusat latihan itu.
“Apabila siap pembinaannya nanti, Pusat Latihan RELA Lundu akan menjadi pusat latihan termahal dan terbesar bagi RELA di Malaysia,” katanya berucap dalam Majlis Bersama RELA Daerah Lundu di Dewan Masyarakat Lundu di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang turut hadir, bersetuju memberi peruntukan RM16 juta kepada RELA Sarawak untuk membiayai pembelian uniform 345,000 anggotanya.
Katanya, RM16 juta itu adalah baki wang peruntukan dijanjikan diberi kepada RELA oleh Adenan pada tahun lalu.
Menurutnya, Allahyarham berjanji membantu RELA Sarawak membeli uniform dengan meluluskan peruntukan RM20 juta tetapi hanya sempat menyerahkan RM4 juta sebelum pemergiannya.
Pada tahun lalu, kerajaan Pusat bersetuju memberikan peruntukan RM20 juta, manakala kerajaan negeri melalui Adenan meluluskan jumlah sama kepada RELA Sarawak untuk membeli uniform bagi anggotanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment