Tuesday, February 21, 2017

KKLW jadikan integriti pegangan kakitangan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa komited dalam usaha menjadikan aspek integriti sebagai pegangan utama dalam mendidik kakitangannya tentang bahaya dan kesan daripada kegiatan rasuah.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai sebuah badan kerajaan, pihaknya perlu menunjukkan imej bebas rasuah, sekali gus menarik kepercayaan rakyat terhadap peranan kerajaan dalam membangunkan negara.
“Sehubungan itu, pada 8 Mac ini, kementerian akan mengadakan program Sehari Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi pendedahan kepada semua kakitangan tentang bahaya rasuah dan bagaimana untuk mengelak daripada terlibat.
“Program itu menunjukkan kementerian serius dalam isu melibatkan rasuah, terutama jika ada kakitangan yang terlibat dan tiada sebarang kompromi jika sesiapa yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah 2016 di sini hari ini.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan seramai 2,926 kakitangan kementerian berkenaan menerusi agensi dan anak syarikat di seluruh negara menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan, program bersama SPRM itu juga dapat dijadikan garis panduan oleh semua warga kementeriannya untuk berurusan dengan pelbagai pihak.
“Mungkin ada kakitangan yang kurang jelas mengenai apa itu rasuah dan menerusi program tersebut, mereka akan diberi penera­ngan yang lebih jelas oleh pihak yang berkaitan.
“Tidak mahu ambil tahu dan tidak tahu bukanlah alasan terbaik untuk melibatkan diri dalam gejala rasuah dan perkara itu harus disedari oleh semua pihak termasuk penjawat awam yang melambangkan integriti negara,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online

No comments: