Wednesday, March 2, 2011

11,130 naik pangkat

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Inisiatif dorong pegawai klinikal pertingkat prestasi

KUALA LUMPUR: Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) meluluskan 11,130 kenaikan pangkat pegawai Kementerian Kesihatan yang merangkumi pegawai perubatan, pergigian dan farmasi antara 9 Mac 2010 sehingga 24 Februari lalu. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata kelulusan kenaikan pangkat itu direalisasikan menerusi inisiatif laluan kerjaya yang diperkenalkan kementerian kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi. Katanya, menerusi pelan laluan kerjaya itu, pegawai kementerian yang dinaikkan pangkat itu membabitkan pegawai Gred 44, 48, 52, 54, Gred Khas C dan Gred Khas B.

Beliau berkata, insentif kenaikan pangkat berlandaskan konsep 1Malaysia itu akan mendorong pegawai klinikal untuk terus kekal berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan membantu kerajaan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Keputusan LKPPA meluluskan kenaikan pangkat dibuat berdasarkan kepada bidang kepakaran dan kecemerlangan prestasi pegawai. Ia juga satu pengiktirafan dan penghargaan kepada pegawai kementerian di atas sumbangan kepada sektor awam khususnya dalam bidang klinikal,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menjelas lanjut mengenai kenaikan pangkat itu, Mohd Sidek berkata, LKPPA meluluskan kenaikan pangkat sembilan Pegawai Perubatan Klinikal Gred Khas B pelbagai disiplin ke Gred Khas A, manakala 18 pegawai Gred Khas C ke Gred Khas B dan 13 pegawai gred 54 ke Gred Khas C.
“Pergerakan kenaikan pangkat ke Gred Khas A ini menjadikan bilangan keseluruhan Pegawai Perubatan Gred Khas A di kementerian adalah seramai 21 orang,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 3,213 orang pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dinaikkan pangkat ke gred 54, seramai 1,538 pegawai dinaikkan pangkat ke Gred 52 dan 4,182 pegawai dinaikkan ke Gred 48 manakala 2,157 pegawai pula dinaikkan pangkat ke Gred 44.


Berita Harian Online

No comments: