Wednesday, March 30, 2011

Had usia pemohon PPG diluluskan

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had umur pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.

Sebelum ini, syarat pemohon PPG adalah berusia tidak melebihi 45 tahun pada 1 Mac tahun ini, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan Kementerian Pelajaran. Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata pihaknya sudah menerima surat daripada JPA yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah mengenai kelulusan permohonan itu. Katanya, guru berusia 46 dan 47 tahun mulai mengikuti pengajian pada sesi pengambilan khas September ini di dua universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Alhamdulillah permohonan kita untuk melanjutkan had usia pemohon PPG diluluskan yang membantu merealisasikan sasaran melahirkan 60,000 guru siswazah,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian Pelajaran mempergiat usaha meningkatkan tahap kelulusan akademik pendidik pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) menerusi peruntukan RM1.4 bilion bagi PPG untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah.

Guru yang mengikuti PPG diberi biasiswa kerajaan dengan kontrak perkhidmatan bagi mengikuti program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) supaya mereka kekal berkhidmat pada sesi persekolahan.
Pendidik terbabit akan mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut pendidikan guru di seluruh negara mulai bulan ini dalam pelbagai jurusan meliputi tempoh tiga setengah hingga empat tahun pengajian.

Mengenai sasaran pengambilan 40,000 guru untuk mengikuti program pensiswazahan mulai bulan ini, Mohd Ghazali berkata, ketika ini seramai 31,000 guru sudah mendaftar dan jumlah itu dijangka meningkat selepas proses rayuan dan kemasukan sesi khas September 2011.

Katanya, sekiranya jumlah itu gagal dicapai, sasaran 60,000 masih boleh direalisasikan dengan meningkatkan jumlah pengambilan pendidik bagi sesi pengambilan tahun depan.

“Ramai guru yang membuat rayuan supaya diterima mengikuti program PPG dan ada yang dipertimbangkan selepas mengambil kira kelayakan dan kelewatan memperoleh maklumat mengenainya akibat lokasi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Mengenai permohonan perpindahan pusat pembelajaran akibat berpindah ke sekolah lain dan faktor jarak kediaman dari institusi yang ditawarkan, Mohd Ghazali berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat, baru-baru ini untuk tindakan lanjut.



Berita Harian Online

No comments: