Wednesday, March 9, 2011

APMM perlu penambahan tenaga kerja

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal beroperasi sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab mengawal perairan negara mulai Ogos ini.

Bagaimanapun, dalam melaksanakan tanggungjawab dan cabaran berat menjaga kawasan perairan negara yang luas, APMM memerlukan tambahan peralatan dan tenaga kerja. Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish, berkata pada masa ini APMM hanya mempunyai 3,848 anggota. "Cabaran bagi anggota APMM ialah untuk sentiasa berada di kawasan perairan yang jauh antara 160 kilometer hingga 322 kilometer dari pantai bagi memantau perairan negara.

"Kami masih memerlukan sekurang-kurangnya 9,000 anggota untuk mengawal perairan negara yang mempunyai keluasan lebih 614,000 kilometer persegi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Mohd Amdan berkata, bagi mengatasi masalah itu, APMM bercadang menawarkan jawatan kepada anggota agensi penguatkuasa laut lain termasuk Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Jika kami membuat pengambilan baru, ia akan mengambil masa lebih setahun dan biasanya mereka ini akan jadi anggota bawahan...mereka ini tidak ada pengalaman dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, APMM akan menghadiri mesyuarat berkaitan penyerahan aset agensi penguatkuasaan laut yang lain yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya Khamis ini.

Mohd Amdan berkata, mesyuarat yang akan dihadiri semua agensi penguatkuasaan laut itu dijangka membincangkan usaha menyelaras pengambilalihan aset daripada agensi penguatkuasaan laut lain seperti kapal, bot dan tawaran kemasukan anggota agensi lain ke APMM.

"Kami mengemukakan usul kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan tangga gaji anggota agensi penguatkuasaan laut lain yang diberi opsyen untuk menyertai APMM," katanya.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi manarik minat anggota agensi penguatkuasaan laut lain yang berpengalaman menyertai APMM, sekaligus memudahkan agensi itu daripada melatih semula tenaga kerja baru.

Mohd Amdan berkata, APMM juga bercadang menambah bilangan bot dan kapal dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kemampuan agensi itu.

"Kami sedang membuat pelbagai usaha untuk menjadikan APMM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang berwibawa di rantau ini," katanya.

Selain menjalankan tanggungjawab mengawal keselamatan perairan negara, APMM juga akan mempertingkatkan aktiviti jiwa murni iaitu mendekati dan merapatkan hubungan dengan penduduk di kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata, usaha itu dibuat supaya penduduk di pesisir pantai terutamanya nelayan boleh menjadi mata dan telinga kepada APMM dalam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah di laut.



BERNAMA

No comments: