PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini meneliti ciri-ciri pada MyKad bagi meningkatkan tahap keselamatan kad pengenalan pintar rakyat Malaysia itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Alwi Ibrahim bagaimanapun menolak langkah itu berikutan wujud aktiviti pemalsuan MyKad yang dikesan pihak berkuasa. "Dari segi rekod, pemalsuan tidak banyak berlaku, tetapi kita hendak memastikan kualiti produk kita bertambah baik dari semasa ke semasa. "Daripada kajian yang dilakukan juga, setakat ini memang tidak ada kes pihak-pihak tertentu memalsukan maklumat-maklumat tertentu di dalam cip pada MyKad," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menerima lawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.
Alwi berkata antara ciri yang diteliti ialah gambar pemilik MyKad yang mungkin akan menggunakan teknologi ''laser engraving''.
Bagaimanapun katanya, sebarang proses penambahbaikan pada MyKad akan diumumkan apabila tiba masanya.
Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata langkah untuk mempertingkatkan kualiti dan ketahanan fizikal Mykad dengan menggunakan bahan "polycarbonate" (PC) sepenuhnya mulai tahun lalu telah dapat mengurangkan aduan permohonan gantian MyKad.
Katanya langkah itu juga tidak membabitkan sebarang penambahan kos oleh kerajaan.
Selain itu, JPN juga sedang berusaha mengatasi masalah kerosakan pada cip MyKad yang kadang kala berlaku selepas beberapa lama kad digunakan, katanya.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment