Monday, March 28, 2011

JPA perlu lebih peka wujudkan jawatan baru

SAYA tertarik kepada berita bertajuk 'CUEPACS bantah keputusan' dalam akhbar ini bertarikh 25 Mac lalu berkaitan bantahan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman mengenai tindakan Kementerian Kesihatan menggantikan tugas Penolong Pegawai Kesihatan dengan Pegawai Teknologi Makanan.

Selaku bekas Inspektor Kesihatan (IK) yang sekarang ini dikenali sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), dengan pengalaman berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan lebih 36 tahun, saya sangat terharu dengan sokongan badan induk itu. Jika benar arahan itu, sebagai bekas PPKP saya juga hairan dan kecewa bagaimana dan atas asas apa keputusan ini diambil. Untuk sekian lama masyarakat umum tahu PPKP atau IK adalah inspektor di bawah Ordinan Jualan Makanan dan Dadah 1952, Akta Makanan 1983 dan tidak keterlaluan saya katakan ia berlaku sejak sebelum merdeka lagi. Mereka bertanggungjawab memantau kemasukan makanan import di pintu masuk utama negara, memantau kebersihan premis makanan, memantau makanan yang dijual di pasaran, menjalankan penyiasatan dan pendakwaan.

Mereka sinonim dengan keselamatan makanan. Sekarang ini saya pasti mereka bertungkus-lumus memantau kemasukan makanan di pintu masuk negara demi menjamin keselamatan rakyat akibat kebocoran loji nuklear di Jepun.

Jika arahan ini dilaksana juga, sebagai orang lama saya berpendapat banyak pihak yang akan terjejas seperti institut pengajian tinggi awam dan swasta yang sedang menganjurkan program diploma dan ijazah kesihatan persekitaran dan Malaysia Accreditation Agency (MQA).

Oleh itu, saya ingin mencadangkan pada masa akan datang pihak kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar lebih peka dalam mewujudkan jawatan baru.


BEKAS INSPEKTOR KESIHATAN,
Subang Jaya.



Berita Harian Online

No comments: